22 Julai 2022, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa pengembangan IPP ini disumbangkan oleh sektor pembuatan dan elektrik dengan masing-masing merekodkan peningkatan sebanyak 6.9% dan 2.8%.
Walau bagaimanapun, sektor perlombongan susut sebanyak 4.9%. IPP merosot sebanyak 1.0% kesan daripada kejatuhan dalam komponen pembuatan dan perlombongan dari segi perbandingan bulan ke bulan. Statistik IPP itu terdiri daripada tiga sektor utama iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik. Menurut jabatan itu, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat sebanyak 6.9% pada bulan Mei 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.2% pada bulan April 2022.
Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Mei 2022 ialah peralatan elektrik dan elektronik (15.5%), produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (12.4%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.2%).
DOSM menjelaskan bahawa pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan domestik (8.7%) dan industri berorientasikan eksport (6.1%). Pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik disumbangkan terutama oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler serta pembuatan produk pemprosesan makanan.
Sementara itu, peningkatan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal di samping pembuatan kimia dan produk kimia.
Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.
Menurut DOSM, sektor pembuatan susut 1.3% berbanding dengan bulan April 2022 dipengaruhi oleh kapasiti penggunaan kilang yang rendah terutama dalam subsektor produk makanan, minuman dan tembakau selain subsektor produk mineral bukan logam, logam asas serta produk logam yang direka. Sementara itu, output sektor perlombongan merosot sebanyak 4.9% pada Mei 2022 berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Jabatan itu turut menambah penyusutan tersebut dipengaruhi oleh kejatuhan sebanyak  6.7% dalam indeks minyak mentah dan kondensat serta penurunan sebanyak 3.6% dalam indeks gas asli.
Indeks perlombongan juga merekodkan penurunan sebanyak 0.6% berbanding dengan bulan lepas. Output sektor elektrik berkembang sebanyak 2.8% pada bulan Mei 2022 berbanding dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, indeks elektrik merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.5%. DOSM juga melaporkan bahawa IPP bagi tempoh bulan Januari hingga Mei 2022 merekodkan pengembangan sebanyak 4.4% berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan tersebut disokong oleh indeks pembuatan (6.4%) dan indeks elektrik (3.0%). Namun begitu, indeks perlombongan pula menyusut sebanyak 2.1%.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.