20 Julai 2022, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Data terkini yang dikeluarkan tinjauan hartanah dan Indeks Juwai IQI Malaysia bagi suku ketiga 2022 menunjukkan pasaran hartanah kediaman di Malaysia menuju kenaikan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, Kashif Ansari menyatakan bahawa kaji selidik yang dijalankan terhadap ejen hartanah di seluruh negara mendapati harga rumah dan sewa akan meningkat dengan ketara dalam tempoh tersebut sekali gus merangsang peningkatan aktiviti dalam sektor hartanah. Dalam senario ini, mereka yang memiliki rumah akan menikmati faedah daripada kenaikan nilai, sebaliknya bagi yang menyewa atau mahu membeli rumah akan menyaksikan perbelanjaan mereka meningkat.

Kaji selidik itu mendedahkan industri hartanah menjangkakan pertumbuhan harga kediaman yang ketara dalam tempoh 24 bulan akan datang. Ejen hartanah percaya hartanah kediaman akan meningkat sebanyak 11.8% di seluruh negara dalam tempoh 12 bulan akan datang. Pertumbuhan akan berterusan pada tahun berikutnya dengan harga berakhir pada 16.5% lebih tinggi dalam tempoh 24 bulan akan datang. 

Berdasarkan tinjauan berkenaan, ejen hartanah di Pulau Pinang menjangkakan 17% kenaikan dalam tempoh dua tahun lagi manakala di Johor pula,  dijangka meningkat 18.1%. Bagi Kuala Lumpur dan Selangor pula, harga dijangka meningkat 15.9% manakala ejen hartanah di Sabah menjangkakan kenaikan 14.7% di Sabah dalam tempoh dua  tahun. Menurut Kashif Ansari, pihaknya telah menjalankan Indeks dan Tinjauan Juwai IQI sejak tahun 2019 dan angka tersebut membentuk ramalan pertumbuhan harga kediaman paling kukuh yang belum pernah direkodkan.
Beliau menambah unjuran telah berubah dengan ketara sejak suku ketiga 2021 dan kemudiannya ejen hartanah menjangkakan penurunan 5% dalam harga kediaman, dan membuktikan unjuran itu tidak jauh berbeza. Selain itu, beliau menyatakan bahawa sembilan daripada 10 ejen hartanah berpendapat membeli rumah ketika ini lebih baik berbanding menyewa. Secara perbandingan, hanya 11% sahaja yang bersetuju dengan pendapat bahawa menyewa lebih baik daripada membeli rumah. “Data ini mencadangkan kepada saya bahawa ejen menjangkakan penyewa akan menghadapi kenaikan kadar dalam tempoh 12 bulan akan datang sejajar kenaikan harga rumah. “Mereka yang membeli sekarang dapat mengelakkan diri daripada berdepan tekanan ini.
“Apabila melihat siapa yang mempunyai peluang terbesar di sini, didapati lebih satu pertiga daripada rakyat Malaysia berumur 20 hingga 39 tahun ialah penyewa. “Itulah peratusan tertinggi penyewa daripada mana-mana kumpulan umur.”
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa pembeli rumah pertama ialah ‘pemenang’ dalam persaingan yang sengit ini. Hal ini demikian kerana  sejak tercetusnya pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020, pembeli tempatan kali pertama telah meningkatkan bahagian mereka dalam pembelian pembangunan projek baharu. “Semasa pandemik, pembeli kali pertama meningkatkan bahagian mereka daripada sekitar 30% kepada kira-kira 35% daripada transaksi projek baharu. “Sementara itu, kedua-dua pelabur dan pembeli yang menaik taraf dari satu rumah ke rumah lain kehilangan kira-kira 1% daripada bahagian pasaran pembangunan baharu mereka.”
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.