18 Julai 2022, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra  Jamalullail bertitah agar sektor swasta dapat terus memainkan peranan utama menerusi kaedah pelaburan masing-masing untuk menjayakan projek baharu Chuping Agro-Valley (CAV) di negeri Perlis. Inisiatif  ini amat bertepatan dengan dasar sekuriti makanan negara dan memerlukan penggunaan teknologi pertanian terkini serta kaedah pertanian moden. Baginda bertitah sebelum berangkat pulang ke tanah air dari negara Jepun semalam.

Menteri Penasihat (Politik dan Ekonomi) di Kedutaan Besar Malaysia Tokyo, Salfarina Salim dan Setiausaha Ketiga (Konsular dan Protokol) Mohd Farriq Osman turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita untuk mempersembahkan ucapan selamat berangkat kepada baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakandabaginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Sementara itu, dalam perkembangan yang berkaitan, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Nor’Azam Mohd Idrus memaklumkan bahawa perdagangan produk agromakanan antara Malaysia dan Jepun pada tahun 2021 direkodkan berjumlah USD1.21 billion dengan imbangan dagangan memihak kepada Malaysia iaitu ‘surplus’ USD896.93 juta. Peningkatan sebanyak 18.47%  menunjukkan trend pemulihan dagangan agromakanan yang turut disokong oleh keyakinan terhadap jenama Malaysia termasuk melalui program yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI).

Beliau menambah antara komoditi yang menjadi penyumbang utama kepada eksport agromakanan negara ke Jepun ialah sediaan makanan (USD44.11 juta), sediaan koko (USD163.6 juta), minyak/lemak (USD514.8juta), keratan bunga (USD72.9 juta) dan perikanan (USD31.9 juta). Selain HS Code tersebut, Jepun juga merupakan pengimport utama produk kayu kayan negara Malaysia berjumlah USD701 juta. Tambah beliau lagi, perdagangan agromakanan Malaysia-Jepun juga sangat baik dengan disokong oleh Malaysia Japan Economic Partnership Agreement (MJEPA) berkuatkuasa pada tahun 2005.

Secara purata, perdagangan agromakanan Malaysia-Jepun melebihi USD 1 billion sejak tahun 2008. Walaupun prestasi dagangan Malaysia-Jepun agak mendatar berikutan persaingan dari negara-negara seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan Brazil, potensi perdagangan dengan Jepun kekal tinggi dengan peningkatan permintaan serta menjadikan Jepun sebagai ‘global trading gateway’ selari dengan kapasiti Jepun sebagai tuan rumah acara bertaraf antarabangsa seperti World Expo Osaka 2025, Aichi-Nagoya Asian Games 2026. Selain itu, Jepun juga sedang melobi untuk menjadi penganjur Winter Olympics 2030.

Sempena keberangkatan baginda ke negara Jepun kali ini, pihak MAIPs turut menyalurkan sumbangan wang zakat kepada Masjid Otsuka di Minami Otsuka Toshima-ku, Tokyo yang diterima oleh wakilnya daripada Japan Islamic Trust, Haroon Qureshi. Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menerima mengadap Pengurus Kanan Koshigaya Environmental Management Office dari Saitama, Yasuakai Kawai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.