Oleh Ritah Yahaya
16 Julai 2022, 11:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) yang bakal diadakan dari 4 Ogos hingga 14 Ogos 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang menyasarkan hasil jualan melebihi RM250 juta dengan kunjungan  sebanyak 100 000 orang setiap hari.

Road to MAHA 2022 yang diadakan di Dataran Gedong, Sarawak ini merupakan kesinambungan siri jelajah seluruh negara yang dimulakan pada 1 Julai lalu di MAEPS, Serdang. Tema penganjuran MAHA 2022 pada tahun ini ialah “Sekuriti Makanan untuk Masa Depan” bertepatan dengan cabaran yang sedang dihadapi negara dan global ketika ini.

YBhg. Datuk Badrul Hisham Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI berkata “Ini merupakan siri Road to MAHA ketiga dan seterusnya akan diadakan Zon Selatan, Zon Sabah, Zon Timur, dan di Zon Tengah, iaitu di MAEPS sebagai destinasi terakhir bagi menghebahkan kepada orang ramai mengenai penganjuran MAHA 2022.”

Semestinya MAHA pada tahun ini amat dinantikan selepas empat tahun tidak diadakan kerana pandemik COVID-19. Hari ini kita dapat lihat pelbagai aktiviti promosi MAHA diadakan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkenalkan fruit of the event MAHA, iaitu Keluarga Artocarpus seperti nangka, cempedak, sukun, dan nangchem. Turut diperkenalkan ialah sembilan menu makanan seperti Laksa Sarawak, Mi Kolok, Bihun Belacan, Ayam Pansuh dan lain-lain.

Selain itu, pengunjung MAHA 2022 juga bakal dihidangkan dengan 333 menu Makanan Keluarga Malaysia di Kluster Empayar Makanan dan 101 menu di Kluster Food Truck Fiesta. Program ini memberikan peluang kepada hampir 174 orang usahawan untuk menyertai peluang perniagaan yang disediakan oleh FAMA bersempena dengan MAHA 2022. MAFI menerusi FAMA melihat pemasaran hasil pertanian secara terus kepada pengguna sebagai satu kaedah mengurangkan kebergantungan pengeluar kepada orang tengah.

Program Khas Jualan Terus dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) yang dianjurkan di Dataran Gedong, Sarawak ini memberikan ruang kepada pengguna untuk mendapatkan keperluan harian dengan memberikan nilai penjimatan kepada pengguna sekurang-kurangnya sebanyak 5% hingga 10% daripada harga pasaran setempat bagi produk terpilih.

“Program ini dapat memendekkan rantaian pemasaran agromakanan bagi memberi harga yang terbaik kepada pengguna. Ini adalah selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri untuk meneruskan konsep Jihad Memerangi Orang Tengah. Hal ini demikian kerana semua usahawan yang terlibat merupakan pengeluar hasil pertanian itu sendiri,” ujar Datuk Badrul Hisham.

Program khas JTDLKM ini merupakan kerjasama lima agensi di bawah MAFI iaitu FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT). Antara lokaliti pelaksanaan termasuklah di kawasan perumahan, pejabat kerajaan dan projek peruncitan bimbingan agensi-agensi.

Sebanyak 8400 orang usahawan terlibat dengan sasaran nilai jualan adalah sebanyak RM10.5 juta. YBhg. Dato’ Haji Mohamad Mustahapa Awang, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA berkata, “FAMA menyasarkan sebanyak 840 kali penganjuran di 70 buah lokasi di seluruh negara hingga bulan Disember. Bermula 1 Jun hingga 10 Julai 2022, sebanyak 362 program dilaksanakan dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM4.88 juta.

Melalui penganjuran setakat ini, sebanyak RM488 ribu penjimatan atau pulangan diperoleh rakyat yang memberikan manfaat kepada 185 000 orang pengunjung.” Melalui tempoh yang sama juga, JTDLKM mencatatkan kuantiti jualan keseluruhan berjumlah 588 metrik tan (mt) seperti sayur-sayuran (111 mt), buah-buahan (172 mt), ikan (99 mt), dan pelbagai (85 mt).

Sebanyak 80 667 ekor ayam dijual sepanjang penganjuran program ini. Di negeri Sarawak sahaja, JTDLKM dianjurkan di lapan buah lokasi. Pada penganjuran program pada hari ini, sebanyak 33 orang usahawan menyertainya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.