16 Julai 2022, 08:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
New York – Dunia bakal berdepan kemelesetan ekonomi lebih buruk dalam tempoh 12 bulan akan datang susulan krisis perang antara Ukraine dan Rusia yang belum berhenti. Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva menyatakan bahawa kenaikan harga komoditi akibat peperangan yang berlaku akan memberi impak kepada ratusan juta penduduk dunia.

Tinjauan mendapati ekonomi global telah menjadi suram dalam beberapa bulan  kebelakangan ini. Kejutan harga komoditi akibat perang di Ukraine telah memburukkan lagi krisis kos sara hidup bagi ratusan juta orang dan hanya menjadi lebih teruk.

Tambah beliau, kadar inflasi juga dijangka terus meningkat. Pada ketika ini, Amerika Syarikat (AS) menyaksikan kadar inflasi meningkat pada paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun iaitu sebanyak 9.1% pada Jun lalu.

Ahli ekonomi dan pelabur kini berpendapat Rizab Persekutuan AS boleh menaikkan kadar faedah sebanyak 1% dalam tempoh dua minggu. Bank of Canada mengejutkan pasaran pada Rabu lalu dengan menaikkan kadar asasnya dengan mata peratusan penuh, manakala Bank Rizab New Zealand pula meningkatkan kadar penanda arasnya sebanyak 0.5% minggu ini.  Bank of Korea dan Bank Pusat Singapura juga telah mengetatkan polisi kewangannya pada Khamis bagi mengawal kadar inflasi semasa.
Lebih memburukan keadaan, penutupan industri berlaku di China secara berulang akibat COVID-19 telah mengakibatkan kekurangan bekalan barangan. Keadaan itu akan mengakibatkan tahun 2022 menjadi sukar dan mungkin tahun 2023 lebih sukar dengan peningkatan risiko kemelesetan. IMF akan menurunkan unjuran pertumbuhannya bagi pertumbuhan global tahun 2022 dan 2023 yang berakhir Julai ini.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Eropah dijangka mengurangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Eropah pada tahun 2023 kepada 1.4% daripada 2.3%. Bank Pusat Eropah kini berada di bawah tekanan bagi menaikkan kadar faedah memerangi inflasi sekali gus melindungi mata wang Euro yang terus mencatatkan kemerosotan setara dolar Amerika buat pertama kali dalam tempoh dua dekad.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.