15 Julai 2022, 08:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa pengeluaran getah asli Malaysia susut 6.3% kepada 21 073 tan pada Mei 2022 berbanding dengan 22 498 tan pada April 2022.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan 25.2% berbanding dengan 28 164 tan yang direkodkan pada Mei 2021. Beliau turut menjelaskan bahawa pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2022 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 83.3% manakala sektor estet sebanyak 16.7%.

Jumlah stok getah asli pada Mei 2022 turun 2.8% kepada 289 430 tan berbanding dengan 297 654 tan pada April 2022. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.7% diikuti kilang pengguna getah sebanyak 7.2% dan estet getah pada 0.1%. Data itu memaparkan statistik pengeluaran, import, eksport, penggunaan domestik, stok, harga, bilangan pekerja, gaji serta upah dan produktiviti bagi estet getah.

Beliau menyatakan bahawa eksport getah asli Malaysia berjumlah 43 197 tan pada Mei 2022 susut 26.3% berbanding dengan 58 596 tan yang dicatatkan pada April 2022.
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli dengan jumlah 44.6% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2022 diikuti Amerika Syarikat (12.4%), Turki (4.5%), Brazil (4.4%) dan Finland (3.7%). Beliau menambah prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM1.6 bilion pada Mei 2022, turun 30.0% berbanding dengan RM2.2 bilion bagi April 2022. Sentimen pasaran getah dunia disokong oleh unjuran bekalan getah asli yang lebih terhad, rangsangan ekonomi di China dan optimisme terhadap perdagangan Amerika Syarikat-China. Selain itu, sentimen pasaran getah dunia juga didorong oleh kebimbangan inflasi, ketidaktentuan yang semakin meningkat mengenai kelembapan ekonomi global daripada dasar sifar COVID-19 di China, dan konflik berpanjangan Rusia-Ukraine.
Analisis perbandingan harga purata bulanan pula menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 0.6% kepada 670.69 sen sekilogram pada Mei 2022, daripada 666.47 sen sekilogram pada April 2022. Beliau menyatakan bahawa getah jenis sekerap juga turun 3.5% kepada 565.84 sen sekilogram daripada 586.65 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.
Pergerakan harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula ialah dalam keadaan bercampur-campur iaitu turun 2.2% hingga 2.3% dan meningkat 0.6%. Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Getah Perincian Teknikal) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing susut 5.0$ daripada USD1.70 sekilogram kepada USD1.62 sekilogram, dan 1.7 peratus daripada USD2.09 sekilogram kepada USD2.06 sekilogram.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.