15 Julai 2022, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM20.89 bilion kepada 357 895 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) untuk mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa PSU 1.0 yang melibatkan seramai 322 177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan permohonan subsidi upah yang diluluskan telah mencecah nilai RM12.958 bilion setakat 1 Julai 2022. Beliau menambah bahawa kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1.408 bilion untukĀ  PSU 2.0 setakat 1 Julai 2022 yang disalurkan kepada 81 158 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian seramai 719 024 pekerja.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan juga telah membelanjakan sebanyak RM3.766 bilion untuk PSU 3.0 setakat tempoh yang sama yang telah disalurkan kepada 162 307 majikan untuk mengekalkan penggajian bagi 1.53 juta pekerja. PSU 3.0 turut ditambahbaik dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA+.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), kerajaan telah melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja. Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2.56 bilion untuk disalurkan kepada 163 696 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 1.92 juta pekerja. Selain itu, kerajaan juga telah membelanjakan sebanyak RM188.072 juta yang disalurkan kepada 7579 majikan setakat 1 Julai 2022 bagi membolehkan mereka terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 106 948 pekerja bagi PSU 5.0.
Sementara itu, beliau menjelaskan seramai 33 456 peserta telah berjaya ditempatkan di sektor awam dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui inisiatif program Malaysia Short-term Employment (MySTEP) setakat 30 Jun 2022. Seramai 17 446 orang pekerja telah ditempatkan di sektor awam manakala 16 010 pekerja lain di GLC serta rakan-rakan strategik lain daripada jumlah tersebut.
Kerajaan juga telah menyediakan kuota khas sebanyak 1% atau 800 peluang penempatan untuk program MySTEP kepada anak muda Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan mereka menceburi bidang pekerjaan. Kerajaan amat menggalakkan agar warga OKU turut mengambil kesempatan ini dan memohon penyertaan melalui Portal MySTEP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.