Oleh Ritah Yahaya
13 Julai 2022, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Labuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan akan melaksanakan Program Jualan Rakyat Mygrocer@Wilayah untuk barangan keperluan asas seperti ayam, ikan, sayuran, dan barangan makanan kering di Wilayah Persekutuan.

Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah ini memfokuskan kepada jualan barangan sumber protein utama bersubsidi, iaitu ayam dan telur ayam agar rakyat dapat berbelanja pada harga yang lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Program ini akan dilaksanakan di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala di kedai-kedai yang dikenal pasti di Wilayah Persekutuan Labuan selama enam bulan dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM3.48 juta.

Jualan akan bermula esok, iaitu pada 14 Julai 2022 di PA Sri Johor, Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, jualan ini masih berkonsepkan MyGrocer@Wilayah, iaitu penjualan barangan keperluan asas dan barangan makanan kering secara terus daripada pembekal ke kawasan perumahan penduduk. Manakala, di Labuan, Program Jualan Rakyat ini akan dilaksanakan melalui peruncit yang telah dikenal pasti oleh Perbadanan Labuan agar rakyat boleh menikmati jualan barangan dengan harga yang lebih rendah. Dianggarkan sebanyak 147 000 penduduk di 61 buah PPR dan PA di Kuala Lumpur serta 19 000 orang penduduk daripada kumpulan B40 di Labuan bakal menerima manfaat menerusi Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah ini.

Setiap penerima manfaat mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja. Mereka akan dapat menikmati pembelian seekor ayam dengan kadar subsidi sebanyak RM3.00 seekor serta dapat berjimat sebanyak RM0.50 sen apabila membeli 10 biji telur ayam Gred B. Melalui program ini, setiap isi rumah dapat menjimatkan kos perbelanjaan barangan dapur sehingga 14.29% bagi setiap pembelian satu ekor ayam dan 10 biji telur.

Kerajaan serta Kementerian Wilayah Persekutuan komited mencari pelbagai kaedah untuk meringankan beban ekonomi Keluarga Malaysia dan mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat secara umumnya. Semoga pelaksanaan program ini dapat meringankan beban kos sara hidup, terutamanya dalam kalangan B40 di Wilayah Persekutuan.

Orang ramai diseru untuk merebut peluang keemasan bermula 14 Julai 2022 (Khamis), pukul 4.00 petang hingga 6.00 petang mengikut jadual Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.