Oleh Ritah Yahaya
8 Julai 2022, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memandang serius dan prihatin terhadap penipuan Pakej Haji Furada oleh sebuah agensi pelancongan terhadap rakyat Keluarga Malaysia yang terkandas di KLIA yang dikongsikan semalam.

Berdasarkan semakan MOTAC, agensi pelancongan tersebut memiliki lesen dengan MOTAC. Pasukan penguatkuasaan MOTAC juga memantau dan menemu bual wakil syarikat di KLIA semalam dan dimaklumkan sekiranya bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti yang dijadualkan, wang akan dikembalikan secara berperingkat dan pasport dipulangkan.

Di samping itu, sekiranya rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kes tersebut tidak memperoleh wang semula seperti yang dijanjikan, mereka dinasihatkan agar membuat laporan polis di Balai Polis Main Terminal Building (MTB) KLIA atau mana-mana balai polis berdekatan.

Para jemaah juga diminta membuat aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di https://ttpm.kpdnhep.gov.my/portal/home bagi pemulangan wang. Dokumen yang perlu disertakan dalam SISPAA MOTAC adalah seperti berikut:

  1. Bukti tempahan pakej.
  2. Bukti pembayaran deposit.
  3. Bukti pembayaran penuh.
  4. Terma dan syarat seragam ke luar negara (Jadual Keempat) milik syarikat.
  5. Salinan pasport/visa.
  6. Salinan tiket penerbangan (jika ada).
  7. Laporan polis.
  8. Apa-apa dokumen yang dianggap boleh membantu siasatan pada peringkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

MOTAC akan membuat siasatan sewajarnya tehadap syarikat di bawah Seksyen 8(1)(d), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] kerana menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara, dan sekiranya didapati bersalah, syarikat boleh digantung atau dibatalkan lesen.

Orang awam dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia/agensi berkenaan dan membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan demi memastikan hak pembeli terpelihara dan mengelakkan kes penipuan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia juga akan terus memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.