Oleh Ritah Yahaya
7 Julai 2022, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ankara  – Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Turkish Aerospace Industries Inc. (TAI) hari ini memeterai komitmen kerjasama bagi penggalakan pembinaan kapasiti dan keupayaan bersama dalam industri dan teknologi antara Malaysia dengan Turkiye melalui pemeteraian Surat Niat kedua-dua organisasi.

Majlis pemeteraian itu berlangsung di Istana Presiden, Ankara dan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Republik Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdogan.

Terdahulu, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan ke TAI yang merupakan Pusat Kecemerlangan Turkiye bagi reka bentuk, pembangunan dan pemodenan pesawat udara, sistem kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) serta subsistem satelit dan angkasa lepas.

TAI telah membuka pejabat kejuruteraan dan reka bentuk di Cyberjaya yang kini menempatkan sebanyak 20 orang jurutera Malaysia.

Syarikat pertahanan dan aeroangkasa terbesar di Turkiye itu turut komited untuk melatih dan menempatkan 100 orang jurutera tempatan dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba yang turut hadir mengiringi YB Perdana Menteri pada sesi lawatan tersebut menyatakan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terhadap jalinan kerjasama antara agensi di bawahnya, MIGHT dan TAI.

“MOSTI percaya bahawa elemen terpenting dalam memastikan transformasi Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi adalah dengan mengeratkan kerjasama dan menyelaras model perniagaan bagi menerokai teknologi baharu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama (Industri) MIGHT, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali menekankan bahawa perkongsian berterusan antara TAI dengan Malaysia yang dimudahkan oleh MIGHT  menggalakkan pemindahan pengetahuan dalam bidang UAV, angkasa dan pesawat kepada pakar Malaysia daripada pelbagai agensi dan industri.

Tambah beliau, kerjasama itu mampu menjadi pemangkin kepada Malaysia dalam pengeluaran produk berteknologi tinggi negara, seterusnya mengurangkan kebergantungan pada perolehan asing dalam bidang strategik seperti pertahanan dan keselamatan. Hal ini juga merupakan satu langkah yang tepat dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk memulihkan penguasaan dalam pembangunan teknologi di pasaran global.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.