5 Julai 2022, 09:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pemberian subsidi kepenggunaan merupakan langkah yang betul dalam meringankan beban rakyat tetapi kerajaan perlu segera mengemukakan penyelesaian jangka panjang termasuklah mempunyai pembaharuan pasaran yang lebih cepat, lebih mendalam dan lebih luas.
Pakar ekonomi Dr Nungsari Radhi menyatakan bahawa pengumuman tersebut munasabah, tetapi pada masa yang sama keadaan itu akan memberi kesan kepada keadaan kewangan kerajaan.  Oleh itu, langkah untuk mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan hasil perlu segera difikirkan. “Langkah yang diambil sekarang merupakan langkah jangka masa pendek yang boleh difahami oleh semua pihak, namun mesti disertakan dengan beberapa petunjuk jelas mengenai rancangan jangka panjang yang koheren untuk menangani masalah kewangan kerajaan. “Jika tidak keadaan itu akan menjejaskan keyakinan pelabur yang penting untuk membawa ekonomi ke arah model pendapatan yang lebih tinggi.”
Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Profesor Geoffrey Williams turut menambah pemberian subsidi merupakan perkara yang betul dalam jangka pendek untuk mengawal harga dengan subsidi dan kawalan harga walaupun  melibatkan kos yang mahal memandangkan harga minyak mentah yang tinggi. “Selain dari pemberian subsidi, Malaysia memerlukan sistem kredit pendapatan yang betul melalui sistem cukai dan ini adalah satu bentuk konsep jaminan pendapatan dasar sejagat (Universal Basic Income) dan perlu diperkenalkan segera. “Hal ini terutamanya apabila Bantuan Keluarga Malaysia dilihat sebagai tidak mencukupi untuk mengurangkan beban rakyat.”
Beliau menegaskan bahawa kerajaan mesti melihat kepada reformasi menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada mekanisme subsidi bersasar memandangkan kerajaan masih tidak mempunyai mekanisme untuk melakukannya (subsidi bersasar).
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.