Oleh Ritah Yahaya
1 Julai 2022, 02:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Iskandar Puteri  – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba merasmikan pelancaran program Campus for Local Electric Vehicle Expeditious Roll-out (CLEVER) di EduCity Iskandar, Johor. CLEVER yang diterajui oleh NanoMalaysia Berhad (NMB) ialah sebuah program untuk merancakkan penggunaan teknologi kenderaan elektrik atau electric vehicle (EV)di kawasan kampus universiti terpilih. Inisiatif CLEVER ini akan dimulakan di EduCity Iskandar, diikuti di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Program ini bertindak sebagai platform atau  medan ujian pengawalseliaan dan inovasi untuk membolehkan syarikat pemula dan inovator menjalankan eksperimen secara langsung dalam persekitaran terkawal. Program ini akan meliputi mobiliti elektrik dua roda, stesen penukaran bateri, pembangunan penukaran kenderaan Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) kepada EV, penggunaan sistem autonomi, dan pengecasan luar grid menggunakan tenaga boleh diperbaharui yang dilaksanakan di kawasan kampus.

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, pelancaran CLEVER adalah selari dengan fokus Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk meningkatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV tempatan. Ia juga menyokong sasaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 untuk menyediakan kira-kira 5000 buah stesen mengecas EV bagi mengukuhkan infrastruktur EV. Langkah ini juga secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat untuk memiliki dan menggunakan EV pengangkutan pilihan.

“Penglibatan NMB signifikan dalam mewujudkan ekosistem kondusif yang menggalakkan bakat-bakat tempatan untuk membangunkan kecemerlangan teknologi dan memasarkan pencapaian mereka. CLEVER merupakan inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV. Justeru, MOSTI memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan program CLEVER ini berjaya,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba (enam dari kiri).

NMB berperanan memudahkan perkembangan teknologi, menetapkan peraturan serta meminda perlindungan insurans dengan mengumpul data penerimaan pengguna, prestasi serta keselamatan sebelum pelaburan berskala besar dan penggunaan ke pasaran Malaysia dapat direalisasikan. NMB yang juga sebuah agensi di bawah MOSTI sebelum ini telah melancarkan beberapa program bagi meningkatkan dan penggunaan teknologi EV. Antaranya termasuklah NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI), Kereta Lumba Elektrik Berkuasa Hidrogen (HyPER), Kenderaan Autonomi NanoMalaysia (NAVi) dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Ekosistem Mobiliti Mikro EV bersama rakan kerjasama dari Korea Selatan. MOSTI mendorong agenda EV di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia 2021 dan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar komponen EV.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NMB, YBrs. Dr. Rezal Khairi Ahmad, CLEVER berfungsi menangani isu penggunaan EV yang dihadapi Malaysia hingga hari ini, termasuklah isu mampu milik, teknologi EV tempatan, bakat mahir tempatan serta sokongan teknikal, kekurangan infrastruktur terkemuka dan kebimbangan jarak (range anxiety) melalui pendekatan terbaik.

“Kami berbesar hati kerana kerajaan telah menggerakkan agenda EV melalui subsidi dan insentif cukai sebagai langkah pertama untuk mempercepatkan pemilikan kenderaan EV di Malaysia. Bagi memastikan usaha ini mampan dan dipertingkat, kemajuan teknologi tempatan seperti yang akan diterajui oleh CLEVER ini diperlukan untuk penyelesaian jangka panjang. Hal ini secara tidak langsung akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam pasaran EV dan tenaga boleh diperbaharui di ASEAN. Kesan limpahan juga akan meletakkan negara sebagai kuasa utama dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) melalui sistem digital yang berkaitan industri EV,”  ujar Dr. Rezal Khairi

Pada majlis yang sama, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan pelaksanaan CLEVER turut dimeterai. Menerusi MoU antara NMB dengan UTHM, kedua-dua pihak akan bekerjasama menjalankan penyelidikan dan perundingan bagi membangunkan produk, perpindahan teknologi atau idea baharu. Ini bagi menyokong usaha pelaksanaan inisiatif pengurangan kadar pelepasan karbon.

Selain itu, satu lagi MoU turut dimeterai antara NMB dengan UNITEN bagi pertukaran kepakaran, pengalaman dan kemahiran. Usaha sama ini akan memberikan pulangan faedah serta pertumbuhan bersama dalam skop CLEVER dan tenaga boleh diperbaharui bagi sistem pengecasan EV.

Seterusnya, MoU antara NMB dengan UTM dan NMB bersama EduCity. Memorandum ini adalah untuk memanfaatkan rangkaian, bidang kepakaran, sumber pengetahuan seterusnya membentuk kerjasama erat di dalam skop CLEVER di antara ketiga-tiga pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.