24 Jun 2022, 07:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Teluk Intan – FELCRA Berhad melalui anak syarikatnya, FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) membangunkan sebuah kilang memproses santan sawit jenama, “Suri” dengan kos RM3.5 juta. Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kilang pengeluaran secara komersial itu mampu menghasilkan sebanyak 60 tan metrik santan sawit sebulan.
Pembinaan kilang pengeluaran santan sawit itu juga sebahagian daripada inisiatif FELCRA Berhad dalam membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara. Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan geran berjumlah RM3 juta menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi membina kilang tersebut
manakala baki kosnya menggunakan sumber dalaman FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB). “Sebelum ini kita sudah ada sebuah kilang bagi memproses minyak kelapa sawit menjadi santan sawit secara manual sahaja sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak tahun 2012, tetapi sekarang kita telah bina kilang baharu dengan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dan operasi kilang secara automatik sepenuhnya.”
“Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran yang sekaligus akan memenuhi keperluan permintaan terhadap santan sawit yang telah meningkat melebihi 100%.”
Kilang seluas lebih 4000 meter persegi itu mula beroperasi sejak 21 Jun lalu dengan keupayaan memproses sebanyak 2.8 tan metrik santan sawit sehari. Kilang itu menggantikan kilang lama yang hanya mampu menghasilkan santan sawit sebanyak 1.7 tan metrik sehari atau 30 tan metrik sebulan. Setakat ini, produk Santan Sawit Suri mempunyai lima pengedar utama dan dijual di 40 buah lokasi pasar raya dan peniaga individu di negeri Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, dan Pahang.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.