Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja melaksanakan program Ceritalah Lagi bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PABKL) di Reruai DBP, Legar Putra, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Program dengan kerjasama NAI Art Studio ini menampilkan pembicara buku dan pencerita, Encik Nor Azhar Ishak atau Cikgu Nai. Beliau menyampaikan cerita yang berjudul Indahnya Pulau Sipadan.
Program ini memberikan pengetahuan dan pengalaman luar biasa kepada penonton yang dibawakan khas oleh Markas Angkatan Tentera, Kuala Lumpur, iaitu murid dari Sekolah Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur. Sebanyak 40 orang murid yang hadir didedahkan dengan dunia penceritaan, penulisan dan perbukuan.
Selain sesi Ceritalah Lagi, kanak-kanak juga diberi pendedahan tentang hidupan laut melalui aktiviti berkumpulan. Program ini juga menyediakan hadiah menarik untuk kanak-kanak yang berjaya menjawab soalan dalam segmen kuiz di samping menjadi daya tarikan, menanam rasa minat dan menggalakkan budaya membaca kepada khalayak, khususnya golongan kanak-kanak.