7 Jun 2022, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kerajaan akan mempertingkatkan empat bidang utama yang terdiri daripada tadbir urus, penyampaian perkhidmatan awam, pengurusan risiko bencana dan pengukuhan daya tahan kesihatan awam dalam Belanjawan 2023 yang akan datang. Menurut Penyata Pra-Bajet 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF), inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) masih diteruskan dan kemajuan pelaksanaan oleh agensi berkaitan dipantau secara konsisten bagi memastikan inisiatif tersebut selari dengan pelaksanaan NACP.

Menurut kenyataan itu, usaha berterusan bagi mengukuhkan tadbir urus sektor awam dan meningkatkan inisiatif pembaharuan institusi, NACP telah dilancarkan pada tahun 2019 untuk memerangi rasuah dan meningkatkan integriti. “Pelan lima tahun itu menggariskan enam bidang keutamaan yang perlu diberi tumpuan iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat.” Kenyataan itu memaklumkan kerajaan akan terus mengutamakan transformasi penyampaian perkhidmatan awam agar menjadi lebih cekap dan berkesan dalam memenuhi keperluan rakyat.

Ekosistem dan mekanisme perkhidmatan awam akan diperkukuh melalui kerjasama dan penyelarasan yang lebih baik antara kerajaan dan pihak berkepentingan untuk menyelaraskan semula penyampaian perkhidmatan menjadi lebih mudah dan dipacu data bagi memastikan amalan berteraskan bukti yang kukuh dalam proses penggubalan dasar.
“Seterusnya, Belanjawan 2023 akan terus menerokai bidang untuk mengukuhkan kerjasama awam swasta dalam penyampaian perkhidmatan awam termasuk meneroka mekanisme penyampaian perkhidmatan alternatif yang memanfaatkan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan masyarakat awam untuk menyokong penyampaian program sosial.”
Kenyataan itu memaklumkan bahawa pendekatan akan dijalankan untuk membangunkan sistem amaran awal bersepadu yang sempurna selain pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi bagi pengurusan risiko bencana. Perhatian juga akan diberikan untuk mengukuhkan kaedah tindakan awal dan penyelarasan kerajaan apabila Malaysia berhadapan bencana seperti banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa bahagian negara.
Selain itu, kerajaan akan memperkasakan kesihatan primer sebagai barisan hadapan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan pengurusan kesihatan holistik, program kesihatan yang lebih mantap dan mengalakkan pencegahan penyakit melalui kesihatan komuniti akan diperkenalkan. Klinik daif di negara ini akan dinaik taraf secara berperingkat. Selain itu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha penambahbaikan bangunan dan kemudahan kesihatan serta penyesuaian teknologi baharu dan perubatan kepersisan.
Kerajaan akan memberi tumpuan kepada agenda sosial serta penjagaan kesihatan kepada generasi warga emas supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang makmur dan sihat. Kerajaan akan memperkukuhkan lagi fungsi kesihatan awam terutamanya dalam pengawasan penyakit dan kesiapsiagaan krisis pada masa hadapan dalam memastikan negara mampu mengatasi krisis tersebut tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara.
Kecekapan sistem kesihatan negara boleh dipertingkatkan melalui pendigitalan maklumat kesihatan yang teratur dan meluas dengan perkongsian data dan integrasi perkhidmatan antara pelbagai penyedia perkhidmatan sektor awam dan swasta akan berlangsung dengan cekap dan selamat dalam era Revolusi Perindustrian 4.0.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.