3 Jun 2022, 07:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Inflasi yang lebih tinggi dan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) akan menyaksikan pertumbuhan pembiayaan lebih perlahan pada separuh kedua 2022.  CGS-CIMB Research menyatakan bahawa kadar itu diunjur meningkat sekitar 5% dalam tempoh antara sebulan hingga 2 bulan akan datang.
Namun, keadaan itu sejajar dengan pertumbuhan pembiayaan yang diunjurkan firma itu sekitar 4 hingga 5% bagi tahun 2022. Firma itu menjangkakan pertumbuhan pembiayaan bagi industri kekal kukuh (melebihi 5%) pada Mei dan Jun 2022 dengan mengambil kira peningkatan 19.1% pembiayaan yang diluluskan pada April 2022. “Secara dasarnya, pertumbuhan permohonan pembiayaan bagi tahun ke tahun telah melemah sejak dua bulan lalu manakala permohonan pembiayaan pada April 2022 menguncup 0.5% tahun ke tahun. “Oleh itu, kami melihat terdapat petunjuk awal akan berlaku pertumbuhan pembiayaan bagi industri yang perlahan dalam tempoh sederhana.”

Dalam laporan monetari dan kewangan yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi April 2022 menunjukkan pembiayaan bersih terus berkembang pada 4.6%. Situasi itu disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman terkumpul pada 5%  dalam keadaan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih sederhana.  Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul mampan pada 4.9% dan mencerminkan pertumbuhan yang stabil merentas kebanyakan tujuan.
Pertumbuhan pengeluaran pinjaman pada bulan itu lebih tinggi sedikit pada 10.8% (Mac: 10.2%) dan terdapat peningkatan dalam pertumbuhan bayaran balik pinjaman sebanyak 8.5% (Mac: 3.2%). Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 5.7% (Mac: 4.5%) telah mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal kerja pada 8.3% apabila pertumbuhan pengeluaran modal kerja melebihi bayaran balik pinjaman.
Sementara itu, Kenanga Research mengunjurkan pertumbuhan pembiayaan bagi tahun ini sekitar 5 hingga 5.5% yang dilihatnya adalah munasabah sejajar dengan momentum yang ditunjukkan oleh aktiviti ekonomi. “Dengan kenaikan OPR pada Mei 2022, kami percaya ia akan memperlahankan permohonan pembiayaan isirumah, meskipun perniagaan dijangka meneruskan permintaan untuk pembiayaan bagi memanfaatkan pemulihan ekonomi secara berterusan.”
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.