2 Jun 2022, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Jumlah perdagangan kayu dan produk kayu Malaysia meningkat sebanyak 10.1% kepada RM8.69 bilion pada suku pertama 2022 daripada RM7.89 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.
Industri perkayuan Malaysia telah mendapat manfaat daripada gangguan yang sedang berlaku dalam rantaian bekalan global dan perang Rusia-Ukraine yang telah meningkatkan permintaan untuk produk berasaskan kayu Malaysia dan menaikkan harga kayu. Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Norrida Yusoff menyatakan bahawa industri itu menunjukkan kesan positif dalam eksport susulan daripada lawatan perdagangan ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah baru-baru ini serta usaha promosi komoditi pertanian oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi ke Timur Tengah. 
“Industri kayu Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam eksport bagi suku pertama 2022 apabila permintaan global meningkat.” Eksport kayu dan produk kayu Malaysia dari Januari hingga Mac tahun ini meningkat sebanyak 8.2% kepada RM6.54 bilion berbanding RM6.04 bilion setahun lalu. Perabot kayu kekal sebagai penyumbang tertinggi dengan eksport RM3.1 bilion atau 47.3% pada suku pertama 2022, diikuti papan lapis (RM896.5 juta: 13.7%) dan kayu gergaji (RM640.9 juta: 9.8%).
Tiga destinasi eksport utama bagi kayu dan produk kayu Malaysia ialah AS (34.8%), Jepun (14.8%) dan China (9.0%). Eksport perabot kayu Malaysia pula adalah AS (59.3%), diikuti Jepun (5.6%) dan Singapura (4.4%). Terdapat juga peningkatan 16.4% dalam import kayu dan produk kayu kepada RM2.1 bilion pada suku pertama 2022 berbanding RM1.8 bilion setahun lalu dengan import dari China (37.5%) diikuti Indonesia (20.2%) dan Vietnam (8.6%).
Antara bahan mentah yang diimport ialah kayu gergaji (RM218.6 juta) dan venir (RM127.2 juta) yang masing-masing meningkat sebanyak 54.1% dan 57.1% tahun ke tahun. Bagaimanapun terdapat penurunan dalam import untuk papan partikel/kayu serpai dan kayu balak, masing-masing pada RM101.1 juta dan RM48.8 juta yang mewakili penurunan masing-masing sebanyak 22.8% dan 21.8% dari tahun ke tahun.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.