29 Mei 2022, 07:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) optimis bahawa pemulihan ekonomi akan terus berdaya tahan pada suku ketiga 2022 namun masih terdedah kepada risiko luaran dan tekanan menurun selepas merekodkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa situasi itu berasaskan indikator daripada indeks pelopor yang meningkat sebanyak 0.4% bulan ke bulan kepada 111.3 mata sekali gus menunjukkan prestasi yang lebih baik dan menggalakkan dalam ekonomi Malaysia.
“Selain itu, statistik kecenderungan perniagaan memperihalkan bahawa sentimen perniagaan kekal positif pada suku kedua 2022, manakala untuk enam bulan akan datang, sentimen peniaga optimistik terhadap prospek perniagaan mereka.” Mengulas senario sosioekonomi semasa, beliau menyatakan bahawa kebanyakan negara telah mencatatkan prestasi yang lebih baik pada suku pertama 2022 yang menunjukkan pemulihan ekonomi sedang berlaku meskipun berhadapan pelbagai krisis global berterusan yang menyebabkan gangguan dalam rantaian bekalan, tekanan inflasi dan desakan untuk mengetatkan dasar monetari.

Kesatuan Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat merekodkan peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan trend yang sama turut berlaku di rantau Asia melibatkan negara seperti China, Korea Selatan, Filipina dan Thailand. “Bagi Malaysia, KDNK berkembang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.0% pada suku pertama 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 3.6% pada suku sebelumnya.”  Beliau menambah beberapa petunjuk ekonomi utama negara mencatatkan trajektori positif pada suku pertama 2022.
Imbangan akaun semasa kekal mencatatkan lebihan pada RM3.0 bilion terutama disokong oleh eksport bersih akaun barangan melihat kepada sektor luaran. Beliau turut mengulas prestasi pelaburan juga bertambah baik dengan pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM24.4 bilion manakala pelaburan langsung di luar negara mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM3.6 bilion. Sektor perdagangan terus merekodkan prestasi kukuh kerana jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 23.6% kepada jumlah RM624.9 bilion.
“Petunjuk ekonomi utama lain turut mencatatkan peningkatan pada suku tahun ini. Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 4.5% manakala indeks volum perkhidmatan tumbuh 7.1%. “Selari dengan perkembangan ekonomi pada suku pertama 2022, bilangan pekerja meningkat 2.2% kepada 15.57 juta orang manakala kadar pengangguran menurun kepada 4.1% dengan mencatatkan bilangan penganggur seramai 671.2 ribu orang. Indeks Pengeluaran Perindustrian mencatatkan pertumbuhan 5.1% berbanding dengan Mac 2021 disokong oleh indeks pembuatan yang meningkat 6.9% dipacu oleh output berorientasikan eksport dan domestik. Nilai jualan sektor pembuatan juga meningkat sebanyak 13.9% kepada RM144.6 bilion.
Beliau turut menyatakan bahawa bagi segmen harga, Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal melebihi purata inflasi Malaysia bagi tempoh 2011 hingga Mac 2022 (1.9%). “IHP bagi Mac meningkat 2.2% tahun ke tahun terutama disebabkan oleh kenaikan dalam kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol. “Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan juga mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.6% berbanding 9.7% pada Februari 2022.”
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.