Oleh Ritah Yahaya
28 Mei 2022, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Direct Selling Association of Malaysia (DSAM) dan Malaysian Direct Distribution Association (MDDA) menganjurkan Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung dari 27 Mei 2022 hingga 29 Mei 2022 ini dirasmikan oleh YB Dato’ Rosol Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

YB Dato’ Rosol Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (berbaju biru).

Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia yang julung-julung kali diadakan ini merupakan inisiatif baharu yang menyasarkan kepada usaha mengembangkan industri jualan langsung dan memberikan pendedahan yang meluas mengenai aktiviti perniagaan jualan langsung yang sah di Malaysia seterusnya meningkatkan penglibatan lebih banyak pihak untuk menceburkan diri dalam industri ini yang mampu menjanakan sumber pendapatan.

Dengan bertemakan Khazanah Alam Jualan Langsung, program ini melibatkan 22 syarikat jualan langsung daripada DSAM dan MDDA bagi mempromosikan potensi perniagaan kepada orang ramai serta kelebihan produk jualan langsung. Aktiviti seperti sesi pitching dan pemadanan, sesi konsultasi, sesi ceramah, kempen advokasi dan pocket talk oleh KPDNHEP, DSAM, MDDA, dan wakil syarikat jualan langsung merupakan antara pengisian program utama untuk mendedahkan kepada masyarakat konsep perniagaan jualan langsung yang sah dan wajar diterokai kerana mampu menyumbangkan kepada perkembangan sosioekonomi negara.

Pada majlis perasmian tersebut, KPDNHEP turut melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung (2021 – 2025) yang merupakan rangka tindakan yang akan menterjemahkan hala tuju industri jualan langsung pada masa depan. Dokumen ini digarap berdasarkan kepentingan semua pihak yang terlibat dalam industri ini bagi menjayakannya ke arah pewujudan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif, dinamik dan mampu berkembang lebih jauh bukan sahaja pada peringkat domestik, tetapi hingga peringkat global.

Kejatuhan ekonomi dunia disebabkan pandemik COVID-19 menyaksikan industri jualan langsung negara tumbuh dengan memberangsangkan hingga berkembang menjadi satu industri besar yang menyumbang kepada ekonomi negara dan mencapai nilai jualan RM25.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir tahun 2020.

Malaysia kini berada pada kedudukan ketujuh pada peringkat global dan keempat di Asia Pasifik dari segi rekod nilai jualan dalam Laporan Jualan Peruncitan Jualan Langsung Global 2020 yang dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Dunia atau World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA).

Program yang dianjurkan ini merupakan manifestasi KPNDHEP kepada usaha pembangunan berterusan industri jualan langsung yang lebih progresif bagi memastikan industri ini menjadi satu sektor utama yang menyumbang kepada pendapatan negara. KPDNHEP optimis untuk menggiatkan usaha dan strategi yang holistik bagi memastikan persepsi masyarakat mengenai perniagaan jualan langsung akan berubah yang sebelum ini banyak pihak yang masih beranggapan bahawa industri ini mempromosikan perniagaan berasaskan skim piramid atau skim cepat kaya.

KPDNHEP bersama-sama rakan strategik lain akan meneruskan usaha untuk meningkatkan syarikat jualan langsung yang mempunyai lesen yang sah daripada Kementerian di samping merancakkan pelbagai inisiatif bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi perniagaan jualan langsung.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.