27 Mei 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – YTL Corporation Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM414.61 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2022 daripada RM22.43 juta bagi tempoh sama setahun lepas. Jumlah itu disumbangkan oleh keuntungan  daripada penjualan pelaburannya dalam ElectraNet Pty Ltd.
YTL menyatakan bahawa pelupusan ElectraNet telah membantu perkhidmatan pengurusan dan perniagaan lain kembali mencatat keuntungan dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM794.36 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2022 berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM67.18 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.
Secara keseluruhannya, perolehan hasil firma konglomerat infrastruktur itu melonjak kepada RM6.17 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2022 daripada RM4.22 bilion sebelum ini. Perniagaan pembinaan YTL merekodkan keuntungan sebelum cukai lebih rendah sebanyak RM8.01 juta dengan hasil sebanyak RM228.54 juta berikutan penyusutan kerja-kerja pembinaan selain peningkatan kos pembinaan. Segmen utiliti pula mencatat keuntungan sebelum cukai lebih rendah kepada RM134.05 juta daripada RM185.64 juta. Menurut YTL, perniagaan pedagang pelbagai utiliti merekodkan hasil lebih tinggi, didorong oleh kenaikan harga bahan api manakala keuntungan sebelum cukai pula dianggarkan menghampiri tempoh sama pada tahun sebelumnya.

YTL merekodkan keuntungan bersihnya meningkat kepada RM521.87 juta daripada RM39.82 juta manakala hasilnya menokok kepada RM18.09 bilion daripada RM12.99 bilion sebelum ini bagi tempoh terkumpul sembilan bulan berakhir 31 Mac 2022. YTL  menjangkakan prestasi segmen perniagaannya kekal berdaya tahan walaupun berhadapan dengan prospek yang mencabar bagi kemajuan masa depan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.