26 Mei 2022, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Indeks Harga Pengguna April 2022 meningkat 2.3% kepada 125.9 berbanding 123.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya telah melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga April 2022 iaitu 1.9%. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan perkara itu dalam laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan April tahun ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa inflasi makanan pada April meningkat lebih tinggi pada 4.1% dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan makanan dan minuman merekodkan kenaikan. “Kenaikan ini diikuti restoran dan hotel (3.2%); pengangkutan (3.0%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.7%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.8%) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.3%).
“Pendidikan mencatatkan peningkatan 1.0% sementara perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 0.8%. “Minuman alkohol dan tembakau serta kesihatan masing-masing meningkat secara marginal 0.5% dan 0.2%.” Jelasnya, inflasi komunikasi kekal tidak berubah manakala pakaian dan kasut menurun 0.2% berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau menjelaskan bahawa kenaikan inflasi makanan yang menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi. “Inflasi kumpulan ini meningkat 4.1% pada April 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. “Peningkatan bagi kumpulan ini sebahagian besarnya berpunca dari kenaikan ketara komponen makanan di luar rumah yang meningkat 4.4% berbanding 4.0% yang dicatatkan pada bulan Mac 2022.
“Sebagai contoh, sate dan nasi berlauk mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi sebanyak 7.1% (Mac 2022: 6.6%). “Masakan berasaskan sayur dan masakan berasaskan daging masing-masing meningkat 6.9% (Mac 2022: 5.7%) dan 5.7 %(Mac 2022: 5.2%),” katanya. Jelas beliau lagi, makanan di rumah yang merujuk kepada bahan mentah untuk penyediaan makanan di rumah meningkat 4.1% berbanding setahun lalu.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.