Oleh Ritah Yahaya
25 Mei 2022, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan Malaysia mengumumkan penubuhan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR), sebuah pusat bebas di bawah Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum – WEF) untuk menyokong pencapaian wawasan menyeluruh Malaysia di bawah Dasar 4IR yang dilancarkan pada 2021, serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. Ini akan membantu mempercepat penggunaan teknologi yang akan menjamin pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan untuk Malaysia apabila ekonomi pulih daripada pandemik COVID-19.

Penubuhan pusat ini, juga yang pertama di Asia Tenggara, menunjukkan komitmen Kerajaan Malaysia ke arah mengutamakan teknologi sebagai mangkin utama pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pascapandemik, serta menyokong aspirasinya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

C4IR akan menjadi sebahagian daripada rangkaian global WEF untuk kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasikan faedah teknologi baru muncul dan inovatif. Melalui rangkaian pusat sedia adanya di serata dunia, C4IR merintis model tangkas dan berpaksikan kemanusiaan dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar yang berfokuskan teknologi.

C4IR akan ditubuhkan secara rasmi dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada separuh kedua 2022. Penubuhan C4IR diumumkan bagi pihak Kerajaan Malaysia oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia, sempena Mesyuarat Forum Ekonomi Dunia yang diadakan pada 23 Mei 2022 – 26 Mei 2022.

“Malaysia sedang mempercepat transformasi digitalnya, dan keupayaan kita untuk memanfaatkan teknologi 4IR seperti kecerdasan buatan, nanoteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan pengkomputeran kuantum akan menjadi satu pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif dalam beberapa dekad akan datang.

Sehubungan dengan itu, penubuhan C4IR memastikan teknologi pilihan Malaysia mampu menghasilkan manfaat yang bermakna kepada manusia sejagat dalam interaksi teknologi tersebut merentasi alam fizikal, digital dan biologi. Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkaitan bagi memastikan kejayaan C4IR sebagai platform untuk pemindahan teknologi dan bagi membangunkan kapasiti tempatan secepat mungkin,” kata Tengku Zafrul bersempena dengan kehadiran di Mesyuarat Forum Ekonomi Dunia di Davos hari ini.

“Kami mengalu-alukan Malaysia ke rangkaian global Pusat Revolusi Perindustrian Keempat lewat tahun ini. Sebagai pusat pertama di Asia Tenggara, C4IR Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menerajui transformasi digital di rantau ini,” kata Jeremy Jurgens, Pengarah Urusan, Forum Ekonomi Dunia.

Sebaik sahaja ditubuhkan, C4IR akan diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, dengan program yang akan dirangka dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Forum Ekonomi Dunia juga akan terus memainkan peranan kolaboratif dalam pengoperasian C4IR. Pemaanfaat utama agenda 4IR Malaysia, termasuklah golongan belia (contohnya, melalui akses yang lebih baik kepada kaedah pembelajaran dan peningkatan kemahiran yang dikuasakan oleh Edutech); perusahaan sosial (contohnya, menyelesaikan isu sosioekonomi, memudahkan penggunaan digital dan merapatkan jurang digital bandar dan luar bandar); sector perniagaan (contohnya, membangunkan kapasiti dikuasakan 4IR berasaskan industri dan sektor) dan sektor awam (contohnya, memanfaatkan data raya bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.