Oleh Ritah Yahaya
25 Mei 2022, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan memperuntukkan Geran Padanan sebanyak RM30 juta pada tahun ini bagi tujuan pembaikan inap desa (homestay) dan Hotel Bajet di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Permohonan geran ini dibuka kepada semua pemohon mulai 1 April 2022 dan dilanjutkan tarikh tutup pada 15 Jun 2022 kepada semua pengusaha hotel kelas ekonomi (budget hotel) yang telah diberi penarafan 1 Orkid, 2 Orkid dan 3 Orkid di bawah MOTAC.

Bagi memberikan ruang yang lebih luas,  banyak pengusaha hotel mengambil peluang menyertai usaha Kerajaan untuk memulihkan semula industri pelancongan negara, Kementerian bersetuju membuka permohonan ini kepada para pengusaha hotel yang bertaraf 1 Bintang dan 2 Bintang yang  diberi penarafan oleh MOTAC.

Pemberian geran ini bakal memanfaatkan sebanyak 641 buah hotel lagi yang sebelum ini dibuka kepada hotel bertaraf Orkid yang berjumlah  648 buah hotel. Jumlah ini menjadikan hotel kelas ekonomi yang layak memohon geran ini adalah  sebanyak 1289 buah.

Pemberian geran ini bertujuan memberikan peluang sama rata dan membantu para pengusaha hotel bertaraf 1 Bintang dan 2 Bintang membaik pulih premis mereka yang terkesan akibat COVID-19 yang melanda seluruh negara agar dapat menawarkan kemudahan dan fasiliti yang terbaik kepada pelancong sama ada domestik ataupun antarabangsa.

Tarikh tutup permohonan Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan kepada Hotel Bajet dan bertaraf 1 Bintang dan 2 Bintang di bawah MOTAC bagi tahun 2022 diselaraskan hingga 15 Jun 2022.

MOTAC menyeru semua pengusaha hotel yang layak untuk segera mengemukakan permohonan geran yang ditawarkan ini. Maklumat lanjut seperti Garis Panduan Permohonan, Borang Permohonan dan lain-lain maklumat boleh dilayari di laman sesawang rasmi MOTAC di www.motac.gov.my/geran-padanan. Pemberian geran ini diharapkan dapat pengusaha hotel untuk terus kekal berdaya saing bagi mempromosikan premis-premis mereka untuk menarik lebih ramai pelancong datang menginap.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.