Oleh Ritah Yahaya
23 Mei 2022, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil maklum dan memandang serius berhubung rungutan orang ramai baru-baru ini terhadap kenaikan tambang perkhidmatan pengangkutan awam e-panggilan (ehailing). Bagi menangani isu yang melibatkan kepentingan awam yang bergantung kepada perkhidmatan e-panggilan dalam menjalani rutin kehidupan seharian, MOT dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertemu dengan pengendali e-panggilan (EHO) yang berkenaan.

Dripada perbincangan ini, difahamkan terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan tambang e-panggilan, iaitu penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi yang menyebabkan masa perjalanan lebih lama. Gabungan kedua-dua faktor ini telah menjejaskan kualiti perkhidmatan e-panggilan. Selain itu, beberapa syarikat e-panggilan juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30% berbanding dengan sebelum COVID-19 melanda Malaysia.

Kekurangan pemandu e-panggilan ini secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan. Pada masa yang sama, fasa peralihan ke endemik mulai 1 April 2022 lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak dalam permintaan perkhidmatan e-panggilan.

Tempoh yang sama juga menyaksikan pergerakan orang ramai dapat bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian seperti biasa sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular. Faktor-faktor ini mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh EHO merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran. Keadaan ini mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini. Dari segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj iaitu tambang asas dan surcaj. Kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.

EHO dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka. EHO yang berkenaan juga telah memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini. Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna. Lebih daripada 130 000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-panggilan. Angka ini dijangka bertambah apabila Institut Memandu dan EHO menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu e-panggilan bagi 21 EHO dengan lesen aktif di seluruh negara termasuk Lembah Klang. Kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna. Kementerian akan terus memantau industri e-panggilan untuk memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.