Oleh Ritah Yahaya
20 Mei 2022, 15:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) (dalam gambar) merasmikan kursus bimbingan perniagaan program MyKasih Kapital yang merupakan sebuah inisiatif di bawah Program Wanita Bangkit@KWPKM yang disertai oleh 200 peserta wanita dalam membantu mereka yang memerlukan terutamanya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Kursus bimbingan ini adalah persediaan asas bagi golongan untuk mempersiapkan diri untuk mereka menceburi bidang keusahawanan. Antara bidang yang boleh diceburi bagi memulakan perniagaan termasuklah e-dagang, dropship,  danperniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim keusahawanan di Kementerian Keusahawanan, TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Peserta MyKasih Kapital akan dinilai, dipantau dan akan mengikuti kursus-kursusbersesuaian bagi mempersiapkan diri dalam menceburi bidang perniagaan.

Objektif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui inisiatif MyKasih Kapital adalah untuk memperkasakan ekonomi kumpulan sasar, meningkatkan taraf hidup mereka yang memerlukan bantuan segera kewangan melalui bantuan MyKasih Kapital.

Pendekatan ini adalah untuk mengoptimumkan potensi individu berdasarkan kemahiran mereka agar tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan sepenuhnya. Dengan menjalani kursus dan bimbingan dapat memberikan para peserta keyakinan serta dapat menempuhi cabaran dalam perniagaan.

YB Datuk Seri Rina memaklumkan bahawa program ini yang menyasarkan 2000 orang wanita dapat menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan bagi tempoh 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang bermula 1 September 2021 sehingga kini sebanyak 7290 orang wanita berjaya dibantu untuk mendapat peluang menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan/keusahawanan dalam sektor informal dan juga tawaran pekerjaan dalam sektor formal.

Di samping itu program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM membimbing dan membangunkan sebanyak 9835 wanita melalui kursus-kursus keusahawanan dan bimbingan permulaan perniagaan melalui kolaborasi strategik pelbagai jabatan, agensi dan syarikat korporat. Setakat ini program ini berjaya mengumpul sebanyak17125 orang usahawan wanita.

“Ini merupakan usaha berterusan Kerajaan untuk memartabatkan golongan wanita dalam aspek sosioekonomi. Pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan dan syarikat serta orang perseorangan adalah amat dialu-alukan untuk melaksanakan program-program bersesuaian untuk manfaat kumpulan sasar khususnya wanita. Diharapkan dengan adanya kerjasama ini, golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya wanita dapat dibantu dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara” ujar YB Datuk Seri Rina semasa merasmikan Kursus Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Kuala Terengganu hari ini.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Rina juga turut menyarankan wanita agar menyertai Skuad Waja sebagai langkah mengurangkan pelbagai isu yang membelenggu wanita seperti keganasan rumah tangga, gangguan seksual, diskriminasi gender dan sebagainya. Skuad Waja merupakan inisiatif KPWKM untuk melindungi golongan yang sering menjadi mangsa keganasan, terutamanya wanita.

Skuad Waja berperanan sebagai rujukan terdekat dalam masyarakat, khasnya individu yang ingin mendapatkan maklumat mengenai isu-isu berkaitan dengan keganasan atau yang memerlukan bantuan dari segi khidmat nasihat dan perlindungan. Inisiatif ini sekali gus dapat mewujudkan komuniti yang bermaklumat, prihatin dan peka terhadap persekitaran. Semua ahli akan dibimbing melalui Modul Skuad Waja yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Institusi Sosial Malaysia (ISM). Hingga 12 Mei 2022, sebanyak 141 308 orang telah mendaftar sebagai ahli Skuad Waja terdiri daripada 30 721 orang lelaki dan 110 587 orang wanita.

 

 

(Sumber gambar: Facebook Jabatan Pembangunan Wanita)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.