20 Mei 2022, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Beberapa syarikat pengeluar tepung dalam negara menjangkakan bekalan bahan itu dalam negara tidak terjejas susulan larangan eksport gandum yang dikenakan India. Pengurus Pemasaran Bidara Flour Sdn Bhd, Arifin Aziz menyatakan bahawa bekalan untuk syarikat itu tidak terjejas dengan larangan itu, kerana syarikat itu mengambil tepung yang telah siap diproses di negara berkenaan dan bukannya gandum mentah yang dilarang untuk eksport.
Bagaimanapun, pihaknya menjangkakan harga jualan akan meningkat kesan daripada kenaikan harga gandum di seluruh dunia, ekoran ketidakstabilan pasaran dan susut nilai mata wang negara. “Hal ini disebabkan kenaikan harga bahan mentah dan mata wang negara kita yang sudah merudum. Kami menjangkakan harga barang mentah gandum akan meningkat sebanyak 30% dalam tempoh enam bulan akan datang.”
Pengurus Kilang Faiza Food Sdn Bhd, Nor Haida Ishak  menjelaskan bahawa syarikat itu telah mendapat jaminan bahawa pesanan bekalan tepung syarikat itu untuk dua bulan akan datang, tidak akan terjejas oleh pembekal mereka di India. “Kami dapat jaminan verbal sebulan dua ini tidak akan ada masalah. Buat masa kini, syarikat mempunyai simpanan bekalan sebanyak 300 tan yang mampu menampung keperluan penjualan untuk dua minggu.”
Namun, Faiza Food juga sudah mula memerhatikan kenaikan harga barang mentah sejak awal tahun ini lagi dan memberi amaran bahawa ia akan spill-over ke pasaran domestik.
“Kalau dilihat pada situasi semasa, memang sudah mula kenaikan harga. Kami masih mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat, kerana kami tidak mahu menaikkan harga jualan di pasaran. Tetapi, harga mungkin terpaksa dinaikkan dalam masa dua atau tiga bulan nanti.”
Baru baru ini, India dilaporkan melaksanakan larangan eksport gandum untuk menjamin keperluan keselamatan makanan yang merisaukan akibat fenomena gelombang haba yang telah menjejaskan pengeluaran gandum di negara itu. Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dilaporkan menjangka bekalan tepung gandum negara tidak terjejas kerana Malaysia mengimport 80% biji gandum dari negara lain dan tidak bergantung kepada India semata-mata.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!