19 Mei 2022, 09:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Cannes – Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC,) Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad menyatakan bahawa sektor animasi negara berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa kerana Malaysia mempunyai keupayaan dari segi teknologi dalam industri itu. Beliau menambah produk animasi tempatan seperti Upin Ipin sudah mula mendapat tempat di pasaran luar malah menerima sambutan luar biasa daripada negara jiran.
Beliau menambah MDEC sebagai agensi peneraju yang menggalakkan lebih banyak penghasilan filem animasi akan terus mempergiat promosi bagi membolehkan sektor animasi negara menembusi pasaran global. Menurutnya penganjuran Marche Du Film menjadi platform terbaik kepada MDEC untuk mempromosi dan memperkenalkan produk animasi negara seperti Upin Ipin, Ejen Ali, Mechamato dan Batik Girl.
“MDEC mesti membawa bendera Malaysia ke sini (Marche Du Film) dan menyatakan bahawa animasi adalah sesuatu yang besar sebab kalau dalam industri perfileman kena ada latihan mengenai lakonan, penerbit yang hebat dan sebagainya. “Tetapi dalam animasi kita tak ada benda itu semua, yang perlu ada adalah inovasi dalam melahirkan animasi yang bagus. Macam Upin Ipin tidak perlu nama dan penerbit besar tetapi kita telah tunjukkan bahawa kita berjaya. Sebab itulah MDEC datang ke sini mudah-mudahan kita dapat menambah lagi pelaburan untuk negara kita.”
Beliau menambah pihaknya juga akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk memohon geran dan seterusnya menghasilkan lebih banyak filem animasi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Marche Du Film merupakan perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran. Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula 17 Mei.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.