Oleh Ritah Yahaya
18 Mei 2022, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  —   Funding Societies (juga dikenali sebagai Modalku di Indonesia), platform pembiayaan digital PKS terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara dilancarkan secara rasmi di Vietnam, menandakan pengembangan pasarannya yang kelima.

 

(Dari kiri ke kanan) Diem Phuong, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Mastercard; Ryan Galloway, Pengarah Negara, Funding Societies Vietnam dan Kelly Wong, Naib Presiden Perniagaan Hiburan Permainan dan Permainan Utama, VNG

Berbekalkan keazaman untuk menangani jurang pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Vietnam, di mana landskap PKS sedang berkembang pesat tetapi masih kurang mendapat perhatian dari segi kewangan, langkah syarikat teknologi kewangan itu memasuki pasaran negara tersebut bertepatan dengan usahanya untuk terus berkembang ke seluruh Asia Tenggara.

Menurut Kementerian Perancangan dan Pelaburan Vietnam, 98% daripada perniagaan yang beroperasi di negara itu pada 2020 adalah PKS, yang menggaji lebih daripada 5.6 juta pekerja dan menyumbang lebih daripada AS$241 bilion (RM1.045 trilion) atau 40% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Vietnam. Walau bagaimanapun, jurang antara jumlah PKS berdaftar dan jumlah perniagaan yang masih beroperasi semakin meluas dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dengan hanya 54% PKS berdaftar masih lagi aktif pada 2019. Akses kepada pembiayaan masih lagi menjadi salah satu daripada halangan utama terhadap pertumbuhan PKS di Vietnam, dan masalah ini diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19.

Sebagai penyedia pembiayaan digital PKS terkemuka di Asia Tenggara, Funding Societies berfungsi sebagai platform yang boleh dipercayai untuk pembiayaan PKS dengan model kredit yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI), menawarkan pinjaman berjangka tradisional, penyelesaian pembiayaan boleh diubah suai, dan pelbagai pilihan pembiayaan berasaskan perdagangan, seperti pembiayaan invois. Dalam tempoh tujuh tahun ia beroperasi, syarikat itu telah mengagihkan lebih AS$2 bilion (RM8.67 bilion) pembiayaan perniagaan menerusi lebih daripada 5 juta pinjaman di seluruh rantau ini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo berkata, “Sejak penubuhan kami pada tahun 2015, wawasan kami ialah untuk memartabatkan masyarakat di Asia Tenggara. Oleh itu, Vietnam sentiasa menjadi sebahagian daripada pelan hala tuju kami. Selaras dengan pemulihan COVID-19, ini adalah masa paling sesuai untuk kami membentuk sebuah pasukan yang mantap dengan veteran teknologi kewangan tempatan Ryan Galloway, dan mendapatkan pelaburan daripada syarikat teknologi gergasi VNG. Kami yakin bahawa Vietnam akan menjadi satu daripada pasaran terbesar kami memandangkan potensinya yang sangat tinggi.”

Pengarah Negara Funding Societies Vietnam, Ryan Galloway berkata, “PKS di Vietnam tidak mempunyai akses yang sama terhadap pasaran modal teroka dan peringkat awal seperti pasaran Asia Tenggara yang lain, namun pasaran Vietnam adalah sama kompetitif, menjadikan usahawan Vietnam lebih cekal berusaha dalam keadaan yang serba kekurangan. Kami melihat terdapat banyak peluang di Vietnam dan kami gembira kerana dapat menyokong perkembangan pesat landskap PKS di negara ini sambil kami terus memenuhi keperluan jutaan PKS di seluruh Asia Tenggara.”

Mengulas mengenai perkara ini, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berkata, “Kami gembira dengan pengembangan ini kerana ia mencerminkan komitmen kami yang berterusan ke arah menyediakan akses perkhidmatan pembiayaan digital kepada PKS di Malaysia dan di seluruh pasaran Asia Tenggara yang lebih luas. Menerusi keberadaan kami di rantau ini, kami dapat menyokong pertumbuhan PKS di Malaysia dan Asia Tenggara dengan lebih baik selaras dengan pengembangan perniagaan mereka di seluruh rantau ini.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.