Oleh Ritah Yahaya
17 Mei 2022, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik seiring dengan peralihan ke fasa endemik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri (di tengah-tengah).

Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) ialah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

Pemberian diskaun, baucar dan rebat yang bermula pada 29 April 2022 melibatkan dua kluster, iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan. Inisiatif ini bakal diperluas secara berperingkat melibatkan Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan selain Kluster Pelancongan Minat Khas merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah, dan taman tema.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, pelancaran pelan ini bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan atau pakej pelancongan pada harga diskaun istimewa.

“Langkah ini seterusnya mampu merangsangkan permintaan industri pelancongan untuk menyokong mereka yang terjejas agar kekal berdaya saing,” kata beliau.

Di bawah Kluster Pengangkutan Darat, Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam penawaran diskaun tambang antara RM10 hingga RM15 yang bakal memanfaatkan seramai 64,675 pengguna. Pembelian tiket boleh dibuat sama ada menerusi aplikasi KLIA Ekspres dan KTM Mobile, secara dalam talian ataupun mesin tiket.

Di bawah Kluster Persatuan Pelancongan pula, Tourism Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA), dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dalam penawaran pelbagai pakej destinasi pelancongan domestik oleh ejen pelancongan berdaftar menerusi aplikasi e-marketplace Shopee.

Rakyat Malaysia boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM100.00 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200.00 ke atas dari 29 April 2022 hingga 31 Oktober 2022 bagi tempoh perjalanan hingga 31 Disember 2022. Setiap pengguna atau pemegang MyKad layak untuk menebus sekali sahaja diskaun ini dan pembelian perlu dibuat melalui Shopee Pay. Dianggarkan sebanyak 14 925 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat ini dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2 985 000.00

Seiringdengan fokus kerajaan untuk memperkasakan pelancongan domestik, turut dilancarkan ialah lagu Kempen Cuti-Cuti Malaysia versi kedua bertajuk Menemui Semula nyanyian penyanyi Aina Abdul yang bergenrekan pop etnik dengan kombinasi aliran world music, hip hop dan electronic dance music (EDM). Lirik lagu ditulis oleh James Boyle hasil gubahan komposer Ananth Kumar.

Lagu tersebut yang juga menggabungkan alunan muzik tradisional seperti seruling, gamelan, erhu, kompang, dan gendangantara lain menyelitkan mesej penerokaan pengalaman melancong di dalam negara bagi menikmati khazanah alam semula jadi bersama keluarga tersayang.

Video muzik tersebut boleh dilayari di laman YouTube Malaysia Truly Asia di https://www.youtube.com/watch?v=tYQ6CJAvKDA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.