Oleh Ritah Yahaya
14 Mei 2022, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng  merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Pekan Nanas, Johor anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng (dua dari kiri).

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MPOB sedang giat berusaha meneruskan aktiviti Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di seluruh negara melalui program latihan, taklimat dan promosi bagi sektor pekebun kecil. Bagi meringankan beban pekebun kecil dalam melaksanakan Pensijilan MSPO, kerajaan juga  menyediakan menyediakan pelbagai insentif merangkumi pembiayaan kos latihan, kos pengauditan, kos peralatan perlindungan diri, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia.

Hingga 31 Mac 2022, jumlah keluasan kebun yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian di negeri Johor adalah sebanyak 159 487 hektar. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 824 orang pekebun kecil dengan keluasan 118 092 hektar  memperoleh MSPO, iaitu bersamaan dengan 74% daripada keluasan kawasan tanaman sawit yang diusahakan.

Kerajaan telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan pendapatan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya. Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan.

KPSM menjalankan aktiviti utama jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan Pusat Timbang. Sehingga Mac 2022, sebanyak 65 buah pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan buah tandan segar (BTS) mencecah 82 612.37 tan. Purata jualan bagi satu pusat timbang adalah 400 tan sebulan.

Hingga bulan Mac 2022 sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung Malaysia, 27 di Sabah dan 18 di Sarawak. Di negeri Johor  sebanyak lima KPSM telah ditubuhkan iaitu KPSM Kluang Utara Berhad, KPSM Daerah Kulaijaya Berhad, KPSM Daerah Pontian Berhad, KPSM Yong Peng Utara Berhad, dan KPSM Daerah Segamat Berhad. Keahlian bagi lima KPSM ini keseluruhannya berjumlah 318 orang pekebun kecil.

Kementerian melalui MPOB menyediakan bantuan seperti Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS). Selain itu, kerajaan juga telah mengumumkan dana bantuan baharu, iaitu Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40).

Dengan adanya pelbagai insentif yang disediakan oleh Kementerian yang memberi tumpuan kepada pembangunan pekebun kecil tanaman sawit, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil.

 

(Sumber gambar: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Facebook Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.