10 Mei 2022, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.1% pada bulan Mac 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Peningkatan IPP ini disumbangkan oleh peningkatan dalam ketiga-tiga sektor iaitu pembuatan, elektrik dan perlombongan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks pembuatan meningkat 6.9%, indeks elektrik, (0.8%) dan indeks perlombongan (0.3%). Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 8.6% disokong oleh pengembangan dalam kesemua komponen indeks. “Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 6.9% pada bulan Mac 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.2% pada bulan Februari 2022.

“Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Mac 2022 ialah produk peralatan elektrik dan elektronik (18.6%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.6%) dan produk makanan, minuman dan tembakau (4.1%).” Beliau turut menyatakan bahawa pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport iaitu 7.8% dan industri berorientasikan domestik 5.1%.

Jelasnya, peningkatan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal serta pembuatan kok dan produk petroleum bertapis. Sementara itu, pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik disumbangkan terutamanya oleh pembuatan produk makanan dan pembuatan logam asas. Menurut beliau, prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.