Oleh Ritah Yahaya
9 Mei 2022, 14:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA)  dinaikkan taraf kepada perkhidmatan Pengkomputeran Awan (CLOUD), khusus untuk kegunaan seluruh agensi kerajaan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan memperkenalkan perkhidmatan bersepadu dikenali sebagai government hybrid cloud atau MyGovCloud yang menggabungkan perkhidmatan MyGovCloud@PDSA dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider (CSP).

Inisiatif MyGovCloud seiring dengan Inisiatif Kelima di bawah Teras 1 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan 80% penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.

MyGovCloud bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsangkan pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.

Pemilihan CSP dibuat selepas syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan di dalam negara dan di luar negara mengemukakan cadangan (Request for Proposal (RFP)) sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak. Hasil penilaian ini, Kerajaan bersetuju melantik empat syarikat panel CSP untuk menyediakan perkhidmatan CLOUD yang terbaik, selamat dan terjamin.

Bagi memperkasakan MyGovCloud, khususnya dalam penyediaan perkhidmatan Public Cloud, Perjanjian Kontrak Berpusat Pengkomputeran Awan dikenali sebagai Cloud Framework Agreement (CFA) dimeterai antara kerajaan dengan CSP, berserta syarikat penyedia perkhidmatan CLOUD Bumiputera tempatan lantikan CSP dikenali sebagai Managed Service Provider (MSP).

Kontrak CFA bersama-sama kerajaan, CSP dan MSP melibatkan empat buah syarikat CSP iaitu Amazon Web Services Malaysia Sdn. Bhd., Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Berhad.

Empat buah syarikat MSP terdiri daripada Cloud Connect Sdn. Bhd., Enfrasys Solutions Sdn. Bhd., Radmik Solutions Sdn. Bhd., dan Awantec System Sdn. Bhd.

Penglibatan CSP dan MSP ini dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang tahun 2025.

Pelaburan ini akan menjadi “tulang belakang” kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi  lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN.

Inisiatif MyGovCloud diyakini dapat melahirkan lebih banyak pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP.Hal ini juga dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa.

Melalui pelaksanaan CFA, agensi sektor awam akan dapat menikmati perkhidmatan CLOUD yang lebih baik, cepat, cekap dan bersasar pada harga yang kompetitif menerusi tawaran diskaun pukal oleh CSP dan MSP.

Secara keseluruhannya, perjanjian CFA ini merupakan satu inovasi dalam perolehan perkhidmatan CLOUD di semua agensi sektor awam, seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan MAMPU pada masa depan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.