27 April 2022, 08:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kerajaan berkemungkinan besar akan memperkenalkan mekanisme subsidi minyak bersasar bagi menampung impak kenaikan harga minyak mentah, terutamanya bagi kumpulan berpendapatan rendah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan masih dalam peringkat merangka struktur bersesuaian yang dijangka dapat disiapkan tidak lama lagi.
Menurutnya, Kementerian Kewangan juga dalam peringkat meneliti sama ada kerajaan mampu menanggung subsidi manakala harga bagi petrol RON95 dan diesel dapat dikekalkan pada masa ini. “Mereka yang berkemampuan sepatutnya membayar lebih manakala yang tidak layak menerima (subsidi) tidak sepatutnya mendapat langsung subsidi itu. Subsidi hanya untuk golongan miskin terutama golongan B40. “Isunya di sini ialah masa dan bila mekanisme itu akan dilaksanakan.” 

Beliau turut menyatakan bahawa subsidi bahan api turut berperanan penting dalam mengawal kenaikan harga di Malaysia. Malah, kerajaan telah berupaya mengekalkan kenaikan harga antara 2.0% hingga 3.0% sejak 10 tahun hingga 20 tahun lepas.
“Bagaimanapun, ini akan memberi kekangan besar terhadap Bajet. Apabila kita merangka Bajet 2022 pada tahun lepas, anggaran bagi subsidi ialah kira-kira RM5 bilion dan kini  sekitar RM30 bilion yang merupakan kenaikan jumlah subsidi sebanyak enam kali ganda.”
Beliau menambah subsidi minyak itu merangkumi empat elemen iaitu RON95, diesel, gas asli cecair dan minyak masak. Beliau turut menjelaskan, kenaikan harga minyak mentah itu turut menjejaskan kadar inflasi negara yang menyaksikan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Mac 2022 meningkat sebanyak 2.2% kepada 125.6 berbanding 122.9 pada Mac 2021 yang telah melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011-Mac 2022 pada 1.9%.
“Kita percaya ini satu cabaran dalam usaha untuk melangkah ke hadapan. Impak itu terutamanya terhadap harga. Kita belum lagi menyemak semula unjuran pertumbuhan negara dan masih berpegang kepada unjuran Bank Negara Malaysia iaitu pertumbuhan pada 5.3% hingga 6.3% bagi tahun ini. “Pada masa sama, kita juga perlu lebih realistik kerana ini merupakan satu tempoh yang amat mencabar dan terdapat keperluan untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan tersebut dan kerajaan akan bertindak sewajarnya.”
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.