26 April 2022, 07:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi komited untuk menggalakkan penyertaan syarikat serta pelabur dari Mesir dan Qatar bagi memanfaatkan fasiliti Bandar Getah Kedah selain mengambil peluang daripada pasaran berpotensi di ASEAN. Menurut Majlis Getah Malaysia hal  ini berikutan misi kementerian baru-baru ini ke Mesir dan Qatar yang diketuai oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mengenal pasti potensi pasaran termasuk peluang perkongsian bagi sektor getah di Timur Tengah dan ASEAN.
“Syarikat-syarikat dan pelabur dari kedua-dua rantau ini akan dapat meneroka kemungkinan membentuk perkongsian dengan syarikat Malaysia dalam sektor getah seperti dalam pembuatan produk getah. “Sebagai contoh, Qatar dapat meneroka kemungkinan membentuk kerjasama terutamanya dalam pembuatan tayar kerana Malaysia kini mengimport tayar bernilai lebih daripada RM2 bilion (AS$830 juta).” 

Beliau menyatakan bahawa para pelabur dapat memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu daripada pengeksport utama produk getah dan perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dengan negara-negara ASEAN lain (AFTA), yang kebanyakan produk getah di kalangan anggotanya mempunyai tarif import sifar. Pada tahun 2021, Malaysia mengeksport produk getah bernilai AS$15.9 juta kepada Qatar yang  mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 110% dari tahun 2019 hingga tahun 2021.
Sarung tangan getah merupakan produk utama yang dieksport ke Qatar dari Malaysia dengan 70% bahagian pasaran dan nilai eksport sebanyak AS$14.4 juta, manakala produk getah lain yang dieksport termasuk hos, penutup, dapra dok dan kasut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.