25 April 2022, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Malaysia Aviation Group (MAG) merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif bagi tahun 2021 sebanyak RM433 juta berbanding kerugian RM1.7 bilion pada tahun sebelumnya. Syarikat induk kepada Malaysia Airlines Bhd itu menyifatkan prestasi tersebut disumbangkan oleh strategi mampan yang digariskan dalam Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 (LTBP2.0).
Malah MAG  turut berjaya mengurangkan kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) sebanyak 60% bagi tahun ke tahun. “Ini dapat dicapai berikutan prestasi kargo yang kukuh oleh MAB Kargo yang menjana pendapatan sebanyak RM3 bilion susulan pertambahan permintaan global yang membolehkan peningkatan pengangkutan dan penggunaan ruang dalam pesawat menerusi penerbangan penumpang kepada kargo. “Pada 2021, hasil penumpang MAB meningkat 57% didorong menerusi platform Penyelesaian Memaksimumkan Pendapatan Syarikat Penerbangan (ARMS).” 

ARMS memberi gambaran lengkap serta menyeluruh mengenai aspek ekosistem hasil dan kos syarikat penerbangan, tambang lebih khusus serta tawaran kepada pelanggan pada kadar sanggup dibayar dengan menggunakan ciri-ciri unjuran. Menurut MAG, langkah penyusunan semula yang dilaksanakan pada tahun 2021 juga telah memberi peluang kepada kumpulan untuk menambah baik lembaran imbangannya secara menyeluruh.
Pada masa sama, situasi itu membantu menangani isu-isu legasi sejak berdekad lamanya, sekali gus menyaksikan pengurangan liabiliti lebih RM15 bilion serta menghapuskan hutang berjumlah RM10 bilion.
“Kos operasi lebih rendah susulan inisiatif penjimatan kos/pengelakan yang dilaksanakan oleh kumpulan selain penurunan kos pemajakan pasca kejayaan penyusunan semula, hanya meningkatkan lagi sumbangan ke atas peningkatan prestasi bagi tahun 2021.”
Kumpulan itu menyatakan bahawa aliran trafik penumpang dan kapasiti telah berkurangan masing-masing sebanyak 56% bagi tahun ke tahun dan 70% tahun ke tahun akibat pelaksanaan sekatan perjalanan di peringkat domestik dan global bagi sebahagian besar tahun lalu.
Kumpulan itu menyasarkan peningkatan permintaan penumpang dan jualan yang ketara dan menyumbang kepada imbangan tunainya susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur. “Operasi kargo akan terus menerajui pasaran berikutan pergerakan permintaan kargo di rantau Asia Pasifik yang diunjur meningkat sebanyak 5%. “MAB dan penerbangan sekutunya akan secara beransur-ansur meningkatkan kapasiti bagi laluan penerbangan domestik dan antarabangsa dengan sasaran meraih lebih 70% daripada paras kapasiti sebelum pandemik.”
Selain itu, konflik Rusia-Ukraine telah membangkitkan aspek kebimbangan dan cabaran dalam menguruskan kos operasi yang terjejas secara langsung akibat lonjakan harga bahan api. Jelasnya, paras harga bahan api semasa pada AS$110 hingga AS$130 setong, mewakili sehingga 40 hingga 45% daripada kos operasi kumpulan iaitu peningkatan 35 hingga 40% berbanding tahun lalu. “Semua syarikat dalam kumpulan ini telah mengambil langkah-langkah segera bagi mengurus impak kenaikan kos bahan api.”
Pada masa sama, MAG turut menegaskan bahawa aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan kumpulan dan pelbagai langkah telah diambil bagi mengelak penerbangan di kawasan atau zon konflik.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.