Oleh Ritah Yahaya
23 April 2022, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yakin Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030) mampu mewujudkan ekosistem keusahawanan sosial yang ideal bagi mengarus perdana perusahaan sosial dalam ekonomi dan menormalisasi impak sosial dan alam sekitar yang dihasilkan menjelang tahun 2030.

SEMy2030 yang dilancarkan hari ini oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, merupakan hala tuju strategik baharu yang menggariskan strategi, inisiatif dan petunjuk prestasi utama bagi pembangunan keusahawanan sosial dengan matlamat untuk menjadi aliranutama perusahaan sosial sebagai penyumbang efektif kepada pembangunan sosio ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan.

Keterlihatan peranan keusahawanan sosial dalam mengatasi masalah
sosioekonomi masyarakat semakin meningkat berikutan dengan perjuangannya yang berteraskan matlamat untuk meningkatkan tahap kehidupan dengan memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang terpinggir dan sering tercicir daripada arus pembangunan dan program bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 atau SEMy2030 yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini bertepatan bagi menyokong perkembangan keusahawanan sosial di Malaysia dalam menangani isu sosial dan alam
sekitar yang dihadapi negara, termasuklah jurang pendapatan yang semakin melebar, kejadian bencana alam yang semakin meningkat serta krisis bekalan air.

Dengan tema mengarus perdana perusahaan sosial, menormalisasi impak sosial, Rangka Tindakan ini telah menggariskan sebanyak lima objektif yang sejajar dengan aspirasi, strategi dan inisiatif yang ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

Dalam memastikan pencapaian objektif dan sasaran dasarnya, SEMy2030 telah membangunkan lima teras strategik, 20 strategi dan 45 inisiatif. SEMy2030 turut menetapkan deskripsi baharu perusahaan yang lebih inklusif selaras dengan ciri-ciri perusahaan sosial pada peringkat global.

Satu daripada inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah SEMy2030 ialah pembangunan kerangka kawal selia dan tadbir urus yang efektif untuk mengukuhkan akauntabiliti serta membina kepercayaan daripada rakyat dan sektor swasta. Selain itu, Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan melaksanakan semakan semula dan menambah baik kerangka pendaftaran dan akreditasi perusahaan sosial sedia ada bagi membantu perusahaan sosial mendapatkan akses yang lebih luas terhadap bantuan dan peluang untuk berkembang maju.

Malaysia masih mempunyai potensi yang besar dalam membangunkan lebih banyak lagi perusahaaan sosial tempatan. Berdasarkan tinjauan yang dilaksanakan oleh Thomas Reuters pada tahun 2016, Malaysia merupakan antara 10 buah negara terbaik yang memberikan peluang kepada usahawan sosial untuk berkembang maju.

Sehubungan dengan itu, Ismail menyeru semua pihak yang berkepentingan dalam pembangunan keusahawanan sosial, terutamanya agensi awam dan swasta, para pelabur impak sosial serta badan-badan korporat agar memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen yang padu dan berterusan dalam melaksanakan anjakan transformasi yang  melalui SEMy2030.

Pada majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM156 300.00 daripada Uda Holdings Sdn. Bhd, Bank Rakyat, SME Bank dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) kepada empat buah perusahaan sosial terpilih iaitu GoodKids Academy, Rodrell Sdn. Bhd., DIA My Academy Sdn. Bhd., dan MyMedikal Healthcare Sdn. Bhd. Pemberian geran RM810 935 turut disampaikan oleh SME Corp. Malaysia kepada 12 buah perusahaan sosial bagi Program SE Basic Scale Up dan Micro Connector.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.