22 April 2022, 14:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Syarikat Malaysia yang bersedia untuk mengeksport digalakkan memanfaatkan peluang perniagaan dalam persediaan Perancis menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024 di Paris. Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Frankfurt, Zuhaila Sedek menyatakan bahawa penting bagi pengesport Malaysia untuk mempersiapkan diri bagi memastikan mereka mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Tambah beliau, persiapan itu membolehkan pemain-pemain industri tempatan mengakses pasaran EU terutamanya Perancis yang bakal menganjurkan sukan berprestij itu, yang dijadual bermula 26 Julai hingga 11 Ogos 2024. “Matrade ingin berkongsi bahawa terdapat banyak peluang dalam penganjuran Sukan Olimpik dua tahun lagi iaitu dalam beberapa tender yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Perancis. “Secara kumulatifnya tender ini bernilai 5 bilion Euro dan syarikat-syarikat Malaysia boleh mengambil peluang dalam prospek perniagaan yang ada melalui pembinaan Perkampungan Olimpik, misalnya yang sedang giat dijalankan.

“Jadi, kita boleh lihat peluang-peluang untuk mengesport dalam sektor seperti pembinaan, perkhidmatan profesional, makanan dan minuman halal, teknologi dan pelbagai lagi. “Namun penting untuk syarikat Malaysia mencari strategi yang dinamik untuk mereka mengakses pasaran ini. Contohnya dengan berkolaborasi dengan pemain industri di Perancis, dan juga tentunya mempersiapkan diri dalam pematuhan undang-undang EU.” Beliau turut mengulas lanjut tentang penyertaan pengesport tempatan di pasaran Perancis memberi peluang besar untuk menjenamakan Malaysia di pasaran EU.
Hal ini demikian kerana Perancis menjangkakan 9.7 juta pengunjung di Paris dan lebih empat bilion penonton di media elektronik sempena penganjuran Sukan Olimpik 2024.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa Matrade bersedia untuk membantu syarikat Malaysia yang memerlukan maklumat pasaran dan prospek spesifik bagi penganjuran Sukan Olimpik 2024.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.