21 April 2022, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Gamuda Bhd mengumumkan bahawa empat syarikat pegangan konsesi masing-masing secara berasingan telah menerima surat tawaran bersyarat untuk cadangan pelupusan semua sekuriti kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) dan penyampaian penerimaan bertulis. Syarikat-syarikat itu ialah Kesas Holdings Bhd (KESAS Holdings), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (SPRINT Holdings), Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (LITRAK Holdings) dan Projek Smart Holdings Sdn Bhd (SMART Holdings).
Gamuda dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata setiap tawaran KESAS, tawaran SPRINT, tawaran LITRAK dan tawaran SMART telah diberikan oleh ALR secara kendiri dan saling eksklusif antara satu sama lain. “Setiap syarikat pegangan konsesi dijangkakan untuk memulakan rundingan berasingan dengan ALR bagi memuktamadkan terma dan syarat perjanjian masing-masing untuk cadangan pelupusan.” Pelaksanaan perjanjian muktamad oleh setiap syarikat dengan ALR akan tertakluk kepada penyempurnaan pelaksanaan usaha wajar ke atas setiap syarikat konsesi lebuh raya dan kelulusan oleh pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan bagi setiap tawaran mengikut kehendak ALR.
Selain itu, perjanjian tersebut juga tertakluk kepada pelaksanaan oleh setiap syarikat berdasarkan terma dan syarat yang akan diluluskan oleh ALR, kelulusan pengecualian cukai pendapatan termasuk pengecualian duti setem daripada kerajaan dan kelulusan pemegang saham yang diperlukan oleh pemegang saham masing-masing. Pada 4 April, Gamuda telah menerima surat tawaran bersyarat untuk ALR mengambil alih semua sekuriti dalam syarikat konsesi lebuh rayanya.  ALR telah menawarkan untuk memperoleh 70% kepentingannya dalam KESAS Sdn Bhd; 51.6% kepentingan dalam SPRINT; 43.2% kepentingan dalam LITRAK dan 50% kepentingan dalam SMART, dengan bahagian nilai ekuiti yang dijangkakan untuk semua syarikat konsesi lebuh rayanya berjumlah RM2.33 bilion.
ALR menawarkan secara bersyarat untuk membeli semua sekuriti KESAS berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM1.24 bilion pada tarikh penilaian 31 Dis 2021; RM1.81 bilion untuk SPRINT; RM2.12 bilion untuk LITRAK dan RM313 juta untuk SMART.
LITRAK Holdings Bhd dalam satu makluman berasingan memaklumkan bahawa lembaga pengarahnya berhasrat untuk mengagihkan hasil bersih yang sama daripada pelupusan yang dicadangkan kepada pemegang saham, tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian muktamad dan penyelesaian pelupusan yang dicadangkan.
Sementara itu, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) menyatakan bahawa syarikat bersekutu 20% miliknya, SPRINT Holdings juga telah menerima tawaran SPRINT dan akan membuat pengumuman terperinci yang sesuai berhubung tawaran itu dalam masa terdekat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.