21 April 2022, 08:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Subsidiari Petronas, PC Ketapang II Ltd (PCK2L) telah memperoleh hidrokarbon pertamanya daripada penggerudian telaga BTJTB-T2 Fasa 2B Bukit Tua yang terletak di Blok Ketapang, luar pesisir Jawa Timur, Indonesia. Telaga BTJTB-T2 telah digerudi mula pada 30 Sept 2021 dan digerudi dengan kedalaman sasaran 1,890 meter. Gerudi mula adalah proses awalan untuk menggerudi telaga dalam industri minyak dan gas.
“Pencapaian ini adalah sebahagian daripada projek pembangunan keempat selepas Fasa 1, Fasa 2A dan Fasa 3 Bukit Tua. “Projek ini bertujuan untuk menghasilkan 12,500 tong bersamaan minyak (boe) sehari termasuk 30 juta kaki padu standard sehari (mmscf) gas melalui pembangunan lima telaga.”  Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan,  Adif Zulkifli menyatakan bahawa pencapaian itu menunjukkan komitmen syarikat dalam menyampaikan bekalan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai ke Indonesia. “Penemuan hidrokarbon pertama projek Bukit Tua Fasa 2B akan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sasaran Indonesia untuk mencapai satu juta tong minyak sehari menjelang tahun 2030.”
Pengarah Presiden PCK2L, Yuzaini Md Yusof menyatakan bahawa pihaknya berbangga dengan keputusan positif serta komitmen penuh daripada semua pihak.  Pihaknya mengucapkan terima kasih kepada SKK Migas, pihak berkuasa tempatan dan rakan kongsi kami atas sokongan mereka yang luar biasa sepanjang projek ini. Petronas merupakan pengendali Blok Ketapang dan memegang 80% kepentingan melalui dua anak syarikatnya, PC Ketapang II Ltd dan Petronas Carigali (Ketapang) Ltd, manakala baki 20% milik PT Saka Ketapang Perdana.
Petronas juga merupakan operator di North Madura II PSC, luar pesisir Jawa Timur serta rakan usaha sama di enam blok lain yang terletak di darat dan luar pesisir di Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur dan Papua Barat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.