Oleh Ritah Yahaya
15 April 2022, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan pelancaran Coopmart dan perasmian Coop Community Mart (CCM) Koperasi Pudina Putrajaya Berhad. Majlis pada hari ini melibatkan kolaborasi dua buah kementerian, iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Wilayah (KWP). Turut hadir pada majlis tersebut, YBTan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan.

Melalui Projek Coop Community Mart (CCM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama KWP telah membangunkan kedai koperasi (coopmart) di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) danPerumahan Awam di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak bulan Oktober tahun lalu. Bagi menggalakkan penubuhan CCM ini, bantuan infrastruktur dan modal pusingan sebanyak RM130 000.00 diberi oleh SKM dan RM50 000.00 oleh KWP kepada koperasi terpilih sebagai insentif dalam menyokong ekosistem pembangunan perniagaan koperasi yang kondusif dan mampan. Hal ini juga selaras dengan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM) 2021–2025 yang dilancarkan sebelum ini.

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan beliau memaklumkan bahawa perolehan tahunan sektor koperasi sebanyak RM41.47 billion dengan kekuatan keluarga koperasi sebanyak 7.04 juta orang merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Kerajaan juga mengiktiraf peranan koperasi dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat danpercaya gerakan koperasi berupaya untuk menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya dalam menguasai sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal dalam ekosistem gerakan koperasi yang komprehensif dan bersepadu.

Pelancaran Coopmart adalah sebahagian daripada inisiatif Cooperative Strategic Linkages (CSL) yang digerakkan oleh rangkaian koperasi melalui penglibatan pihak SKM, ANGKASA, Federasi Koperasi serta gerakan koperasi bagi membentuk kolaborasi strategik rangkaian pusat pengedaran gerakan koperasi yang akan mendapatkan bekalan barangan secara pukal untuk diedarkan kepada kedai-kedai koperasi di seluruh Malaysia.

Program ini juga melibatkan penjenamaan semula kedai koperasi dalam usaha membantu rakyat bagi menangani isu kos sara hidup melalui kuasa beli rakyat yang menjadi pemangkin terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Berdasarkan perangkaan SKM, sejumlah 2581 buah koperasi sektor pemborongan dan peruncitan didaftarkan, dengan perolehan melebihi RM820 juta.

Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian bantuan CCM sebanyak RM180 000.00 kepada Koperasi Pudina Putrajaya Berhad dan Koperasi Hiliran Ampang Berhad. Selain itu, turut diserahkan bantuan geran penubuhan koperasi berjumlah RM400 000.00 dan bantuan Mapping of Supply Chain (MOSC) di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi COVID-19 KUSKOP sebanyak RM1.12 juta kepada Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Berhad.

Skop bantuan ini adalah di bawah inisiatif pendigitalan bertujuan untuk membiayai kos pembangunan Sistem Pengurusan Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi terhadap 24 buah pusat pengedaran koperasi (DC/SubDC),termasuklah perkakasan, perisian serta kerja-kerja perkhidmatan.

Program pelancaran Coopmart dan perasmian Coop Community Mart yang berlangsung hari ini di Dewan Seri Pudina, Presint 17, Putrajaya turut menarik minat penduduk sekitar melalui jualan harga patut dengan potongan harga barangan asas hingga 70%.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.