15 April 2022, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) sebanyak 4.3% bagi tahun 2022 berikutan perniagaan meningkatkan aktiviti pengeluaran untuk menampung permintaan yang semakin meningkat. Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa pertumbuhan IPP yang sederhana kepada 3.9% tahun ke tahun pada Februari 2022 (Januari 2022: 4.3 peratus tahun ke tahun) merupakan pertumbuhan tahunan paling perlahan dalam tempoh lima bulan.
“Secara keseluruhannya, IPP mengekalkan pertumbuhan positif sejak September 2021, apabila perniagaan meningkatkan pengeluaran berikutan pembukaan semula ekonomi selepas sekatan pergerakan penuh pada tahun lepas.” Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan bahawa IPP Malaysia berkembang 3.9% tahun ke tahun pada Februari, dipacu oleh pertumbuhan sektor pembuatan. Indeks pembuatan naik 5.2% dan indeks elektrik meningkat 3.9% manakala indeks perlombongan merosot sebanyak 0.4%.

MIDF Research menyatakan prospek permintaan akan menjadi lebih baik pada tahun ini berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, pembukaan semula ekonomi, perbelanjaan domestik yang semakin meningkat dan permintaan luar yang masih teguh.
“Bagaimanapun, prospek pengeluaran jangka pendek akan tertakluk kepada risiko penurunan daripada perkembangan luaran, terutamanya konflik Rusia-Ukraine dan lanjutan sekatan pergerakan di China.”Dengan kata lain, aktiviti perniagaan dijangka terjejas oleh cabaran daripada gangguan berpanjangan dalam rantaian bekalan global dan kos pengeluaran yang meningkat akibat harga komoditi yang tinggi.”
Menurut MIDF Research, walaupun terdapat kebimbangan mengenai tekanan inflasi yang meningkat, jualan pembuatan akan mendapat manfaat daripada aktiviti perbelanjaan domestik yang meningkat disokong oleh prospek pekerjaan yang lebih baik, pembukaan semula ekonomi dan langkah-langkah dasar seperti pemberian tunai Bantuan Keluarga Malaysia, ePemula dan pengeluaran tambahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.