15 April 2022, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – UMW Toyota Motor mencatatkan perkembangan positif pada Mac 2022 apabila berjaya merekodkan jualan 8386 unit Toyota dan 101 unit Lexus menjadikan jualan terkumpul untuk suku pertama 2022 sebanyak 22 447 unit. Berdasarkan jualan bulan ke bulan, penjualan Lexus meningkat kepada 101 unit pada bulan Mac berbanding 66 unit pada Februari 2022 manakala Toyota berjaya menjual sebanyak 8386 unit berbanding 6366 unit pada Februari atau peningkatan jualan sebanyak 32%.
Hasil penjualan positif Toyota adalah dipacu oleh promosi yang ditawarkan merangkumi nilai tambah sehingga RM4000 untuk model terlaris mereka iaitu Vios dan Yaris dengan mereka menjangkakan jualan akan terus meningkat menerusi pengenalan produk baharu tidak lama lagi. Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K menyatakan bahawa pihaknya sentiasa menilai dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan ketidak tentuan pasaran selain cukup dikenali dalam kecekapan serta pengurusan rantaian bekalan termasuk langkah pengurangan risiko. Beliau menambah berdasarkan kepada pengalaman itu, pihaknya bekerja rapat dengan pembekal mereka dan memantau perkembangan semasa bagi mengurangkan impak terhadap pengeluaran dan pelanggan mereka.

“Dengan Malaysia dalam transisi ke arah fasa endemik, UMW Toyota Motor menghargai sokongan daripada pelanggan sepanjang tempoh tidak menentu ini dan kami kekal komited untuk meneruskan pembangunan bagi jenama Toyota termasuk perkembangan industri automotif tempatan. “Menerusi perubahan ke arah mobiliti mampan, Toyota menyasarkan untuk terus berada di hadapan dalam menawarkan inovasi nilai yang dilengkapi teknologi kemajuan dan ciri keselamatan terkini untuk semua produk kami.”
Pada masa sama, UMW Toyota Motor juga meraikan sambutan Ramadan dan Syawal melalui peraduan Pandu Uji dan Menang Duit Raya dengan tema Bersama Lebih Bermakna sehingga 1 Mei 2022 dengan peminat Toyota perlu datang ke bilik pameran dan memandu uji model Toyota untuk mendapatkan duit raya.
Setiap pandu uji adalah penyertaan untuk mendapatkan duit raya bernilai RM100 dan setiap tempahan yang berjaya berpeluang untuk menerima RM200 dengan sejumlah 30 pemenang akan dipilih setiap minggu.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.