Oleh Ritah Yahaya
14 April 2022, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Puchong  – Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, telah melancarkan Duit Syiling Peringatan 50 Tahun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Wisma LKIM, Pulau Meranti, Puchong. Turut hadir dalam majlis pelancaran ini, Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Pengerusi LKIM, Encik Yusoff bin Othman, Ketua Pengarah LKIM dan Wakil Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu Encik Abu Hassan Alshari Yahaya, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

 

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

Duit Syiling 50 Tahun LKIM ini telah direka bentuk dan diterbitkan secara eksklusif oleh Bank Negara Malaysia khusus untuk LKIM bersempena dengan sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM pada 1 November 2021.

Konsep utama duit syiling ini adalah daripada gabungan warna dan kesan khas tiga imensi (3D) yang memberikan penekanan kepada warna biru laut sebagai gambaran bahawa laut adalah lubuk peluang, tempat yang menjadi sumber rezeki kepada para nelayan. Kelihatan juga ukiran seorang nelayan sedang menarik pukatnya yang sarat dengan ikan segar, mencerminkan kehebatan tahap kemahiran dan pengalamannya.

Selain mengetengahkan elemen utama yang berkait rapat dengan industriperikanan, syiling ini juga turut mempunyai ukiran khas “50 Tahun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia”. Ukiran ini disifatkan sebagai peristiwa penting bagi memperingati Sambutan 50 Tahun yang pastinya penuh sejarah sejak organisasi ini ditubuhkan pada tahun 1971, sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Pada bahagian belakang, kelihatan juga ukiran nama “Bank Negara Malaysia”, iaitu penerbit rasmi yang mengeluarkan duit syiling numismatic ini. Duit syiling ini dilengkapkan dengan logo rasmi berwarna, “50 Jubli Emas 1971–2021” pada bahagian tengahnya. Ukiran nilai muka “10 Ringgit” di sudut bahagian bawah syiling turut dipaparkan membawa maksud nilai denominator bagi duit syiling tersebut Terdapat juga ukiran abstrak ombak yang memberi maksud cabaran dan peluang yang dihadapi oleh LKIM dalam memartabatkan industri perikanan di Malaysia.

Menurut BNM, maklumat lanjut mengenai cara pembelian dan tarikh penjualan akan dimaklumkan oleh BNM melalui laman sesawangnya. Dr.  Ronald berkata duit syiling ini adalah manifestasi atas pencapaian dan kejayaan lima abad penubuhan LKIM berteraskan pada sifat dedikasi, kerja kuat dan kesungguhan kerjasama  antara para nelayan dengan LKIM bagi memastikan pembangunan industri perikanan bergerak senada dan efisyen.

“Kerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki kedudukan sosioekonomi dan mengurangkan bebanan nelayan,” kata Dr. Ronald.

Selain itu, kerajaan melalui Pembentangan Belanjawan 2022 mengumumkan inisiatif padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh PERKESO dengan pembiayaan sebanyak 80%, termasuklah sektor perikanan.

Di bawah inisiatif ini, nelayan hanya perlu membayar baki 20% caruman, iaitu sebanyak RM46.60 sahaja melalui potongan ESHN dan layak menerima kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi daripada pelan pertama yang terdahulu.

Tambah beliau, kerajaan melalui MAFI dan LKIM akan terus memastikan kebajikan semua golongan sasar terutama keluarga nelayan sentiasa terbela serta memastikan
kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan terjamin.

MAFI melalui agensinya LKIM telah dan akan sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan, memperbaik kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.