Oleh Ritah Yahaya
14 April 2022, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sektor perdagangan pengedaran dan sektor perkhidmatan yang tidak dikawal selia merupakan antara penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kedua-dua sektor ini juga memainkan peranan penting kepada pemulihan ekonomi negara, terutamanya dalam membantu aktiviti perniagaan sampingan agar terus berkembang kukuh dan mampan.

Sebagai sebuah kementerian yang mengawal selia syarikat
berkepentingan asing menjalankan perdagangan pengedaran di Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa berusaha menarik minat pelaburan asing dalam sektor perdagangan dan pengedaran yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Merealisasikan konsep “Ease of Doing Business”, IR4.0 dan
digitalisasi, prosedur permohonan untuk syarikat asing menjalankan perniagaan di Malaysia telah ditambah baik dengan melaksanakan permohonan secara dalam talian melalui Business Licensing Electronic Support System (BLESS) 2.0.

Permohonan melalui sistem BLESS 2.0 ini dilihat  mempermudah proses permohonan syarikat dan sekali gus
menarik minat lebih banyak pelabur asing untuk membuka lebih banyak cawangan perniagaan dalam negara.

Sistem ini juga mampu menampung dan mempercepat proses
permohonan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Dari tahun 2020 hingga tahun 2021, KPDNHEP  menerima sebanyak 1280 permohonan daripada 573 buah syarikat asing untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di Malaysia. Perniagaan mereka meliputi peruncitan, pengedaran, makanan dan minuman (Food and Beverages).

Jumlah kumulatif modal berbayar yang dibawa masuk oleh syarikatsyarikat asing pada tahun tersebut adalah sebanyak RM11.383 bilion dengan 33 123 peluang pekerjaan diwujudkan dalam pasaran tempatan.

Bagi sektor perkhidmatan tidak dikawal selia seperti syarikat perunding, ejen logistik, ejen hartanah dan perkhidmatan pembaikan mesin dan peralatan, kementerian ini meluluskan sebanyak 87 permohonan daripada 149 permohonan daripada syarikat asing pada tahun 2020 dan
tahun 2021. Jumlah keseluruhan modal berbayar yang dibawa masuk oleh syarikat asing pada tahun tersebut adalah sebanyak RM828.84 juta.

Sepanjang tempoh ini juga, kementerian meluluskan permohonan syarikat asing daripada 31 buah negara untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perkhidmatan tidak dikawal selia. Syarikat dari negara Jepun merupakan syarikat yang paling banyak diluluskan untuk menjalankan perniagaan dalam sektor ini, iaitu sebanyak 132 syarikat diikuti
oleh syarikat dari negara Singapura (70 syarikat), United Kingdom (46 buah syarikat), Korea Selatan (38 buah syarikat) dan Australia (19 buah syarikat).

Secara keseluruhannya, walaupun negara turut menerima impak penurunan ekonomi daripada kesan pandemik COVID-19, Malaysia tetap menarik pelbagai syarikat asing, khususnya syarikat pemborongan peralatan industri untuk terus melabur di negara ini.

Selaras dengan hasrat kerajaan, KPDNHEP akan terus komited  membantu memudahcarakan proses permohonan supaya dapat menarik minat lebih ramai pelaburan asing yang berkualiti di bawah sektor ini untuk membuka perniagaan di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.