Oleh Ritah Yahaya
12 April 2022, 09:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Pertanian Malaysia dimaklumkan oleh Ministry of Agriculture Livestock and Food Supply (MAPA) Brazil, melalui surat OFÍCIO Nº5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020 bahawa negara Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana bagi tujuan pemprosesan dan makanan manusia sahaja.

Larangan ini termaktub di bawah Undang-undang Brazil; Law No. 13,123 / 15, May 20, 2015 (Access and Benefits Sharing of Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge) yang Kerajaan Malaysia, jabatan, agensi, manamana syarikat atau individu yang menanam guarana adalah berisiko dikenakan tindakan perundangan oleh Kerajaan Brazil sekiranya tanaman ini dibiakkan dan dikomersialkan. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan amaran, sita dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil (RM 7.7 juta).

Berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan tumbuhan dari negara berisiko tinggi yang endemik kepada penyakit South American Leaf Blight (SALB), iaitu oleh kulat Microcyclus ulei (syn. Pseudocercospora ulei) kepada tanaman Hevea adalah dilarang. Guarana atau nama saintifiknya Paullinia cupana (juga P.crysan, P.sorbilis; Keluarga: Sapindaceae) merupakan tanaman herba semula jadi di Lembah Amazon, terutamanya di Brazil.

Lembah Amazon juga merupakan kawasan penanaman getah dengan insiden serangan penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (South American Leaf Blight, SALB) yang amat tinggi. Spora SALB yang menjangkiti tanaman getah akan menyebabkan pertumbuhan pokok getah terbantut dan tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif.

Keadaan ini boleh melumpuhkan industri getah negara yang mempunyai nilai eksport berjumlah RM71 bilion setahun menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).  Penyakit ini mengakibatkan kegagalan industri getah di negara Brazil dan negara-negara SALB yang lain seperti Colombia, Costa Rica, Surinam dan Panama.

Berikutan larangan pengimportan guarana bagi tujuan penanaman oleh negara Brazil dan impak negatifnya kepada industri getah negara, Jabatan Pertanian tidak pernah membenarkan petani atau usahawan melaksanakan projek penanaman guarana untuk dikomersialkan di negara ini. Hal ini demikian kerana sumber benih guarana yang dibawa masuk ke dalam negara ini secara haram untuk dikomersialkan adalah tidak sah dari sudut perundangan negara berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 serta larangan pengimportan guarana bagi tujuan penanaman yang dikenakan oleh Brazil.

Penanaman guarana di Malaysia adalah berisiko membawa penyakit baharu lain seperti Colletotrichum guaranicola yang hanya dilaporkan menyerang spesis guarana. Maklumat mengenai penyakit C. guaranicola adalah terhad dan akan menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan berlaku di Malaysia.

Selain itu, penyakit ini turut menyerang tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran seperti betik, pisang, mangga, cili dan secara tidak langsung boleh melumpuhkan industri agromakanan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.