29 Mac 2022, 08:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pasaran modal domestik Malaysia meningkat 3.0% kepada RM3.5 trilion pada tahun 2021 berbanding RM3.4 trilion pada tahun 2020, disokong oleh infrastruktur kawal selia pasaran modal yang kukuh, ekosistem pasaran yang dipelbagai dan tahap permodalan peserta pasaran yang mantap.

Laporan Tahunan 2021 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melaporkan pasaran modal domestik terus menyokong ekonomi sebenar dengan keseluruhan pasaran modal meningkat secara purata sebanyak 4.5% sejak tahun 2017, berbanding pertumbuhan purata lima tahun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.5%. “Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan dan teratur sepanjang 2021 di tengah-tengah persekitaran global dan domestik yang agak mencabar. “Pasaran modal terus memainkan peranan asasnya dalam membiayai ekonomi domestik dan menggerakkan tabungan.”

Jumlah dana yang dikumpulkan dalam pasaran modal kekal kukuh, mengembang kepada RM130.9 bilion pada 2021 (2020: RM114.6 bilion) dan melebihi purata lima tahun prapandemik sebanyak RM121.4 bilion dengan RM16.6 bilion daripada jumlah berkenaan dikumpulkan melalui pasaran ekuiti, manakala RM114.3 bilion dikumpulkan melalui pasaran bon korporat.

Sementara itu, saluran pembiayaan alternatif melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara terus menarik minat, terutamanya dalam menyokong keperluan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Menurut SC, industri pengurusan dana juga kian berkembang pada tahun 2021, menyaksikan aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada RM951.1 billion (2020: RM905.5 billion).
Selain itu, SC itu turut menyatakan pasaran ekuiti domestik terkesan oleh kekangan berterusan di peringkat global dan domestik.

Permodalan pasaran keseluruhan Bursa Malaysia dan FBM KLCI masing-masing menyederhana kepada RM1.79 trilion dan RM1.04 trilion pada tahun 2021 (2020: masing-masing RM1.82 trilion dan RM1.06 trilion) dengan indeks FBM KLCI turut merosot sebanyak 3.7% dan mengakhiri tahun 2021 pada 1,567.5 mata. Bagaimanapun, SC menyatakan bahawa sentimen dalam pasaran ekuiti domestik kekal memihak kepada syarikat berkaitan FBM Permodalan Kecil (Small Cap) memandangkan prestasi cemerlang mereka yang berterusan pada tahun berkenaan.

Institusi tempatan merupakan penjual bersih dengan jumlah sebanyak -RM9.1 bilion pada 2021, manakala jualan bersih oleh bukan pemastautin menyusut kepada -RM3.1 bilion (2020: -RM24.6 bilion) dari segi penyertaan dagangan. Selain itu, SC turut menambah jumlah bon belum tebus dalam pasaran bon Malaysia meningkat kepada RM1.7 trilion pada tahun 2021 daripada RM1.6 trilion pada tahun 2020, mencerminkan tahap pengumpulan dana hutang yang lebih tinggi.

Pasaran bon domestik juga menyaksikan peningkatan minat pelabur asing dengan aliran masuk bersih berjumlah RM33.6 bilion pada tahun 2021 (2020: RM18.3 bilion) yang merupakan  jumlah tertinggi sejak tahun 2012.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.