Oleh Ad Aman
5 Oktober 2021, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sektor jualan hartanah negara bakal terus berhadapan dengan cabaran untuk menangani isu asas, iaitu masalah berkaitan dengan kemampuan pembelian, polisi dan penawaran yang berlebihan.

Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) dalam laporan kajiannya menjelaskan bahawa meskipun jualan hartanah menunjukkan prestasi yang baik setakat tahun ini, namun pencapaian itu dilihat akan diuji apabila diskaun Kempen Pemilikan Rumah (HOC) tamat pada akhir tahun ini.

Bank pelaburan itu menjangkakan hasil jualan akan mula menunjukkan penurunan pada tahun depan sekiranya diskaun kempen pemilikan rumah itu tidak disambung.

Dalam pada itu, jumlah hartanah tidak terjual pula merekodkan angka tertinggi sejak tahun 2015 bagi separuh pertama tahun ini, iaitu sebanyak 172 360 unit dengan Johor kekal menjadi negeri tertinggi 42 973 unit diikuti Kuala Lumpur (32 543) dan Selangor (29 555).

“Berdasarkan data dari Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kami percaya masalah bekalan berlebihan bermula pada tahun 2015 ketika kediaman yang diservis mula membanjiri pasaran secara besar-besaran walaupun langkah pengenduran mula dilaksanakan pada tahun 2014,” menurut laporan itu.

Menurut bank tersebut, pertumbuhan unit yang tidak terjual di dua kawasan yang memiliki asas lebih tinggi, iaitu Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing merekodkan peningkatan tiga serta dua kali ganda sejak tahun 2014.

Beberapa negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah turut menunjukkan pertumbuhan ketara dalam unit yang tidak terjual.

Kenangan berpendapat bahawa unit tidak terjual turut menekan harga rumah itu tidak akan pulih pada masa terdekat disebabkan oleh jumlahnya yang masih agak besar dalam pasaran.

Nilai Harga Indeks Rumah (HPI) yang mengukur perubahan harga rumah bagi suku kedua tahun ini juga buat pertama kalinya merekodkan penguncupan, iaitu -1.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

“Situasi ini dipercayai adalah sebahagiannya disebabkan oleh pandemik, namun kami berpandangan trend HPI secara dasarnya telah menuju kepada pertumbuhan negatif dan pandemik hanya mempercepatkan proses tersebut.

“Kami percaya trend ini berpunca khususnya disebabkan oleh masalah penawaran berlebihan dan kemampuan beli,” ujarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.