Diterbitkan pada 29 Oktober 2024, 16:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perlis –  Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dalam usaha untuk memupuk dan menanam semangat keusahawan dalam kalangan mahasiswa bagi memenuhi keperluan global.

Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata,  Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) telah membuka peluang kepada mahasiswa dan bumiputera dalam usaha untuk mencipta dan menawarkan pekerjaan pada masa hadapan.

MASMED menerusi Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC), Tunas Meka dan Entrepreneurship Research and Support Centre (ERSC) senantiasa merancang dan melaksanakan pelbagai pendidikan, latihan, khidmat nasihat dan penyelidikan berteraskan keusahawanan kepada usahawan bumiputera dan warga UiTM, khususnya.

Ujar beliau,

UiTM Cawangan Perlis akan terus menyokong program yang berteraskan keusahawanan dan memperkasakan ekosistem keusahawanan universiti dalam proses menuju Globally Renowned, Locally Rooted UiTM menjelang tahun 2025.

 

YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi membeli produk seni kraftangan hasil idea kreatif mahasiswa di UiTM Cawangan Perlis.

Sementara itu, Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Perlis merangkap pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Puan Eliy Nazira Mat Nazir berkata, program VERBEST Night Market ini merupakan satu daripada inisiatif universiti dalam usaha untuk menyemai nilai keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dengan menggalakkan penciptaan produk baru atau nilai tambah sesuatu produk.

Tambah beliau,

Program VERBEST Night Market kali ini menjadi platform terbaik untuk menarik minat mahasiswa bergiat aktif dalam aktiviti keusahawanan dan pemasaran produk secara langsung dan sekali gus memberikan pengalaman sebenar dunia perniagaan kepada usahawan muda.”

Program keusahawanan sempena VERBEST Night Market yang berlangsung pada 25 hingga 26 Oktober 2024 menyediakan 22 tapak gerai untuk persatuan dan kelab di bawah selian Bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk berniaga manakala 26 tapak pasar malam juga dibuka dan diletakkan bersebelahan dengan gerai jualan mahasiswa.

Turut hadir melawat gerai jualan ialah Timbalan Pendaftar UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohd Khairul Ab Razak; penasihat persatuan dan kelab UiTM; dan barisan Majlis Perwakilan Pelajar.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi