Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Empat – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi taklimat bersempena dengan “Program Jelajah Agropelancongan MADA Tahun 2024” berkenan untuk mengunjungi dan menyaksikan sumbangan MADA kepada usahawan Wilayah 1 Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Puan Azimah Ahmad yang merupakan pengusaha ternakan lembu dan menerima bantuan sebanyak RM19,500 daripada MADA.
Baginda turut berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Destinasi Agropelancongan MADA Wilayah 1 Perlis bertempat di Homestay Dangau Tok Chaq, Simpang Empat. Keberangkatan tiba baginda diiringi sama oleh Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh dan Timbalan Pengurus Besar Pertanian MADA, Zulkifli Romli.
Sebanyak 759 orang usahawan yang dibimbing oleh pihak MADA Wilayah 1 Perlis telah menjana pendapatan berjumlah RM17.2 juta melalui pengeluaran industri asas tani seperti kuih tradisional, produk makanan dan pengeluaran produk tanaman, ternakan dan akuakultur selain agropelancongan sehingga bulan September 2024.
MADA memainkan peranan dan tanggungjawab dalam memajukan industri padi di Kawasan Muda Negeri Perlis dan Kedah. Pihak MADA turut dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan program keusahawanan tani melibatkan Usahawan Industri Asas Tani dan Usahawan Asas Tani yang merupakan sebahagian daripada agenda pihak kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan.
Program ini disekalikan dengan Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Simpang Empat.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut menyantuni dan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada edisi kali ini, iaitu Mohd Zulkiflee Ismail, 58 tahun dari Kampung Permatang Pauh, Jaafar Mat Isa, 76 tahun dari Simpang Empat dan Ku Md Khir Ku Deris, 66 tahun dari Kampung Datuk Ahmad Musa.
