Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Laporan Kelestarian Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) 2023 yang dilancarkan bertujuan untuk membangunkan industri dan sektor perdagangan menerusi penerapan amalan mampan.
Demikian ujar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika merasmikan Hari Terbuka MITI 2024 di Menara MITI, semalam.
Laporan tersebut telah dihasilkan sepenuhnya secara dalaman dengan verifikasi audit oleh pihak ketiga untuk tujuan jaminan.
Usaha ini menunjukkan komitmen MITI untuk memastikan industri akan tetap mendapat akses kepada pasaran lestari serta mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sumber, mengukuhkan tadbir urus dan mencapai sasaran (karbon) sifar bersih menjelang tahun 2050.
Justeru, ekosistem negara yang mampan dengan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial yang saksama mampu merealisasikan objektif menaikkan lantai bagi rakyat serta siling bagi kerajaan dan perniagaan melalui kerangka Ekonomi MADANI.

Tambah beliau, Malaysia terus merekodkan peningkatan perdagangan sebanyak 18.6 peratus dari tahun ke tahun bagi bulan Ogos 2024, di samping mencatatkan pertumbuhan terpantas sehingga mencecah RM252.7 bilion dalam tempoh 22 bulan, nilai eksport juga meningkat 12.1 peratus kepada RM129.2 bilion.
Selain itu, negara juga berjaya merekodkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM160 bilion bagi tempoh separuh tahun pertama dengan pertumbuhan 18 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.
Hal ini disebabkan oleh kerangka Ekonomi MADANI yang mantap dan hala tuju dasar yang jelas menjadikan ekonomi Malaysia berkembang dengan baik dalam ketidaktentuan ekonomi global.
Di samping itu, beliau turut berkongsi satu daripada perkembangan terkini pembangunan industri berkaitan dengan sasaran utama Strategi Semikonduktor Nasional adalah menarik pelaburan sebanyak RM500 bilion dan melahirkan 60,000 orang jurutera yang bakal bekerja dalam industri tersebut menjelang tahun 2030.
Sehingga Jun 2024, industri semikonduktor telah menerima pelaburan sebanyak RM34.6 bilion, iaitu RM33.6 bilion adalah pelaburan asing dan membawa masuk pelbagai teknologi terkini dan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.
Hari Terbuka MITI 2024 merupakan acara tahunan anjuran MITI bersama-sama dengan agensi di bawahnya untuk mempromosikan fungsi dan peranan kementerian kepada orang ramai.
Program ini berkonsepkan mesra rakyat dengan fokus lima elemen utama, iaitu pelaburan, perdagangan antarabangsa, pembangunan industri, peluang pekerjaan dan seranta (outreach). Sebanyak 22 buah syarikat berjenama tempatan dan antarabangsa telah memeriahkan program tersebut.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Hairil Yahri Yaacob; Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), YBhg. Datuk Hanafi Sakri dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) YBhg. Datuk Bahria Mohd Tamil.